Mas Ermieyati dekati pengundi muda, fokus kebajikan rakyat

A
A
A

Mas Ermieyati menyantuni pengundi yang ditemui ketika singgah di kedai makan.
Mas Ermieyati menyantuni pengundi yang ditemui ketika singgah di kedai makan.

Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),Datuk Mas Ermieyati Samsudin antara nama besar yang menjadi perhatian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana merupakan calon ‘Heavyweight’ mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Pertandingan tiga penjuru dengan dua lagi calon parti lawan menjadikan DUN tersebut sebagai tumpuan dan dianggap sebagai kawasan panas.

Beliau adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - satu jawatan yang dilihat memberi kelebihan kepadanya untuk dipilih oleh pengundi bagi kerusi tersebut.

Namun kelebihan itu tidak sesekali menjadikan beliau merasa selesa kerana beliau mempunyai agenda perjuangan yang lebih besar untuk warga Tanjung Bidara dan pada masa yang sama bertanggungjawab membawa aspirasi Perikatan Nasional sebagai sebuah parti yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nurhidayah Hairom bersama Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah ini bagi mengetahui lebih lanjut persediaan, pendekatan, agenda dan aspirasi yang ingin dibawa kepada penduduk DUN Tanjung Bidara dan negeri Melaka.

Artikel Berkaitan:

SINAR HARIAN: Boleh Datuk kongsikan perkembangan kempen dan apa yang menjadi fokus Datuk dalam kempen PRN Melaka ini?

MAS ERMIEYATI: Dari segi fokus kempen saya lihat suasananya masih seperti biasa, tidak ada apa-apa yang berlaku kecuali kibaran bendera. Keadaan tidak berapa panas walaupun dikatakan di Tanjung Bidara adalah DUN panas. Prosedur Operasi Standarad (SOP) yang dikuatkuasa telah mengurangkan suhu untuk berkempen. Dari segi kebaikannya, risiko jangkitan virus dapat dikurangkan tetapi keburukan dan kekurangan pula ialah kita tidak dapat berkempen seperti pilihan raya-pilihan raya yang lepas. Kita tidak dapat berkempen secara tradisi, bertemu, bersemuka dengan ceramah atau perjumpaan parti dan sebagainya. Bagi calon-calon baharu inilah keburukannya dan kasihan sebab mereka pertama kali bertanding dan belum dikenali di peringkat akar umbi atau nasional.

Apabila wujud larangan ceramah terbuka, penekanan terhadap permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan menjadi kekangan untuk calon-calon berikan tumpuan. Apa pendekatan Datuk dalam hal ini?

Sasaran kita adalah untuk berjumpa seramai mungkin pengundi tetapi apabila keadaan terbatas, saya guna pendekatan dari satu kedai ke satu kedai. Apa yang menarik penduduk raikan saya. Apabila kita jumpa masyarakat mereka datang mengadu masalah. Dari situ tindakan segera dapat dibuat kerana saya boleh akses Pejabat Parlimen untuk lihat masalah mereka, buat susulan berkaitan permintaan atau perkara yang tidak selesai. Namun, apabila ada pengundi DUN Tanjung Bidara datang minta bantuan, saya tidak boleh beri serta-merta kerana perlu patuh kepada peraturan kempen. Jika diikutkan petunjuk prestasi utama (KPI), saya sepatutnya perlu segera bertindak. Tetapi ia terbatas kerana kempen tertakluk kepada Akta Pilihan Raya dan ini melambatkan tindakan yang sepatutnya.

Mas Ermieyati akan memastikan manifesto PRN menjadi komitmen dirinya untuk merealisasikan keperluan rakyat Melaka.
Mas Ermieyati akan memastikan manifesto PRN menjadi komitmen dirinya untuk merealisasikan keperluan rakyat Melaka.

Dengan SOP ketat, apakah kempen kali ini mengurangkan keberkesanan dalam menjelaskan isu-isu sebenar yang berlaku di peringkat nasional dan juga tempatan?

Ya, sudah tentu ada kesan. Biasanya semasa berkempen kita kumpulkan penduduk di satu tempat. Kemudian, penjelasan tentang sesuatu isu boleh disampaikan secara terus dari satu tempat ke tempat yang lain. Berbanding kempen melalui platform dalam talian, mungkin sasaran pengundinya tidak tepat dan terus kepada pengundi.

Bonus jika pengundi itu ikuti perkembangan kita sebagai calon, maka dia tahu apa yang berlaku. Apapun, calon perlu kreatif memikirkan kaedah dan pendekatan terbaharu untuk mendekati pengundi. Saya percaya, Melaka sebagai perintis dan PRN Sarawak juga akan mengguna pakai cara ini. Pilihan Raya Umum akan datang juga mungkin menggunakan kaedah sama. Maksudnya rakyat Malaysia harus bersedia dengan kaedah kempen terkini.

Berpandukan maklum balas yang Datuk terima daripada pengundi, kepimpinan bagaimana yang dimahukan rakyat?

Saya lihat, pengundi lebih fokus kepada calon berbanding parti. Mereka mahu wakil rakyat yang boleh mereka harapkan, ada latar belakang yang meyakinkan dan berpengalaman untuk memimpin. Trend melihat calon ini sudah disebut-sebut sejak dua tiga bulan lepas. Mungkin kerana mereka agak terkesan dengan apa yang berlaku di peringkat Pusat, Kerajaan Negeri Perak juga ditumbangkan UMNO sendiri. Kemudian berlaku di pusat, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan Negeri Melaka sendiri juga dijatuhkan UMNO. Tindakan ini mungkin menyebabkan mereka tidak percaya kepada parti.

No Image Caption

Pendekatan melalui media sosial mungkin ada yang tidak sampai kepada pengundi. Apa pendekatan yang Datuk lakukan untuk atasi perkara ini?

Memang ada strategi yang dibuat melalui media sosial termasuk mengeluarkan peruntukan untuk tujuan publisiti. Sebagai Pengerusi PN Masjid Tanah, saya lihat pendekatan ini amat bagus. Walaupun membabitkan peruntukan, ia tidak menjadi masalah besar kerana kos untuk menganjurkan majlis-majlis boleh dialihkan untuk tujuan itu.

Bagaimana pula pendekatan untuk pengundi muda dalam memastikan agenda yang dibawa oleh Datuk sampai kepada mereka?

Saya mengambil pendekatan sasaran pengundi kali pertama dan kali kedua. Jentera kami telah kenal pasti golongan pengundi muda untuk didekati. Melalui pendekatan kempen dalam talian ini juga memberi kelebihan untuk menarik perhatian pengundi muda. Capaiannya lebih luas dan mereka boleh kongsikan maklumat calon kepada saudara mara atau sahabat handai menggunakan aplikasi lain seperti daripada Facebook kepada Whatsapp atau Telegram.

Boleh jelaskan agenda utama Datuk demi memakmurkan rakyat Tanjung Bidara dalam semua bidang termasuk pembangunan?

Saya melihat manifesto PN yang diumumkan sebagai satu komitmen termasuk saya sendiri. Saya akan beri komitmen seperti mana saya lakukan sebagai wakil rakyat Masjid Tanah. Untuk agenda ekonomi, kita akan lihat bagaimana dan apa yang boleh dilakukan untuk warga DUN Tanjung Bidara setelah terkesan dengan pandemik Covid-19. Ini termasuk mengalakkan anak-anak muda menceburi bidang ekonomi gig sekali gus mendidik mereka supaya tidak bergantung harap kepada makan gaji semata-mata tetapi berusaha untuk menjadi usahawan.

Bagi tujuan ini, insya-Allah saya akan gunakan pengalaman saya sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk membantu mereka yang baru mula berniaga atau mahu membuka cawangan. Program-program bantuan usahawan juga akan diteruskan, walaupun dalam bentuk bantuan kecil seperti peralatan berniaga. Saya percaya maknanya amat besar bagi mereka. Begitu juga usaha dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada kaum wanita.

Dari segi agenda Pendidikan pula, keperluan peranti untuk anak-anak belajar dan masalah jaringan internet yang lemah akan diberi perhatian. Saya juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan masalah sosial. Pada masa sama pembangunan infrastruktur juga menjadi perhatian saya seperti pembaikan dan menaik taraf jalan, tandas dan kemudahan untuk gerai-gerai tepi jalan khususnya di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancongan.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Umur: 45 tahun

Asal: Masjid Tanah, Melaka

Jawatan:

- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

- Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Majid Tanah

- Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!