Mesyuarat Pemimpin APEC 2021: PM ketuai delegasi Malaysia

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) yang dijadualkan berlangsung jam 7 petang, Jumaat.

Kesemua 21 Pemimpin Ekonomi negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka menyertai mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Bertemakan ‘Join, Work, Grow, Together,’ (Sertai, Berusaha, Membangun, Bersama), barisan Pemimpin Ekonomi APEC tersebut dijangka membincangkan isu-isu berkaitan usaha memacu semula rantau itu secara sosial dan ekonomi.

“Sejajar dengan kesedaran mengenai keperluan menangani impak Covid-19, AELM akan turut meninjau usaha dan kerjasama sewajarnya bagi mempercepat pemulihan ekonomi dan mewujudkan pertumbuhan mampan untuk rantau ini dalam era pasca-pandemik,” demikian menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada Jumaat.

Menurut kementerian itu, Malaysia dijangka mengetengahkan serta berkongsi pandangan negara mengenai usaha strategik secara kolektif berkaitan aspek mengiktiraf vaksin bersama selain langkah-langkah selamat bagi tujuan perjalanan rentas sempadan, mempergiat teknologi dan inovasi serta kemajuan pertumbuhan mampan dan hijau yang dapat memberi manfaat bagi pemulihan serantau di masa depan.

Pada akhir AELM itu, kalangan Pemimpin Ekonomi APEC dijangka mengesahkan Deklarasi Pemimpin Ekonomi APEC 2021 selain mengangkat Pelaksanaan Pelan Wawasan Putrajaya 2040 bagi merangka trajektori APEC dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Sudah pasti, ini dapat memacu usaha ke arah mencapai wawasan bagi mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan serta aman menjelang 2040 demi kemakmuran semua rakyat kita serta generasi akan datang,” kata MITI.

Bagi tempoh menjelang AELM dan sebahagian daripada usaha libat urus bersama sektor swasta, barisan Pemimpin Ekonomi APEC turut mengadakan dialog bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri bersama Anggota Tetap ABAC Malaysia iaitu Datuk Rohana Mahmood, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah dan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, akan menyertai perbincangan bagi kemajuan dan hala tuju rantau ini dalam memastikan kejayaan untuk bangkit daripada krisis kesihatan itu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!