Tetak ah long: Tiga suspek direman enam hari
KLANG - Tiga suspek direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang pemberi pinjaman wang atau ah long di hadapan sebuah restoran di Bukit Tinggi di sini pada Sabtu lalu.
Ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan itu direman bermula Jumaat hingga 17 November depan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan penahanan reman ketiga-tiga individu berkenaan.
"Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Klang terhadap ketiga-tiga suspek berumur 18 hingga 46 tahun itu.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari Sabtu, mangsa berusia 47 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun sedang menuju ke kereta mereka selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam.
Mangsa yang dipercayai ditetak dengan parang oleh dua penjenayah sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah, lalu maut di hadapan sebuah restoran lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!