Pakai kasut dalam rumah: Ini jawapan SU Politik PM

Gambar Abu Bakar memakai kasut yang tular di laman sosial.
Gambar Abu Bakar memakai kasut yang tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas beberapa hari tular gambar Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang memakai kasut ketika menziarahi warga emas yang terlantar sakit di rumah, akhirnya dijelas beliau hari ini.

Menurut Abu Bakar, ketika kejadian beliau bersama beberapa pemimpin parti sedang menziarahi salah seorang penghuni rumah di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di Butterworth yang terlibat dengan operasi perobohan.

“Keadaan rumah itu sebahagiannya sudah dirobohkan, tetapi mereka tidak mahu berganjak keluar dari rumah masing-masing meskipun kerja meroboh kawasan berkenaan dijalankan mengikut syarat ditetapkan.

“Ketika saya sampai untuk melawat mangsa, memang saya hendak buka kasut, tetapi mereka yang berada dalam rumah berkenaan meminta saya memakai kasut kerana keadaan rumah yang berhabuk teruk,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pada Khamis lalu, Abu Bakar meninjau masalah yang berlaku di tanah wakaf berkenaan selepas video kekecohan operasi perobohan tular di laman sosial.

Inisden berkenaan turut menarik perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dalam rangka lawatan rasmi di Manila menulis di laman twitternya menyatakan telah dimaklumkan mengenai masalah yang menimpa penduduk.

Abu Bakar berkata, mereka yang berada dalam rumah berkenaan juga memakai kasut kerana keadaan ketika itu berhabuk.

“Saya masih tahu adat resam kita orang Melayu dan Islam, masuk rumah orang masih perlu tanggalkan kasut.

Artikel Berkaitan:

“Itulah yang saya telah lakukannya, saya tetapi sebab situasi dan keadaan memaksa semua yang ada ketika itu memakai kasut untuk masuk ke dalam rumah mangsa,” katanya.

Dalam masa sama, Abu Bakar mengingatkan agar mereka yang membuat naik gambarnya di laman-laman sosial agar mendapatkan maklumat sebenar terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu salah faham berlaku, lebih-lebih lagi ia ditularkan oleh mereka yang tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada Bagan, Sayyid Mohammed Mubarak Mohamed Abu Bakar berkata, perkara sebegini tidak wajar berlaku kerana apa yang tular tidak benar.

“Saya sendiri berada pada masa itu dan jelas keluarganya meminta kami agar tidak menanggalkan kasut kerana keadaan rumah masa itu tidak memuaskan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!