Mowgli Malaysia masuk wad terjatuh dari kerbau
KUALA TERENGGANU - Muhammad Syukur Khamis, 14, yang digelar 'Kampung Boy' dan 'Mowgli Malaysia' dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam ini ekoran muntah-muntah setelah terjatuh dari kerbau 7 pagi semalam.
Bapanya, Khamis Jusoh, 63, berkata pada awalnya, anak bongsu lapan beradik itu hanya luka di bahagian bahu.
"Muhammad Syukur tidak pula mengadu sakit dan terus aktif sepanjang hari seperti biasa. Malah, beliau sempat mengikut abang-abangnya pergi memancing ikan kira-kira 3.30 petang tadi.
"Pulang memancing, mereka juga sempat singgah di kedai untuk menikmati roti tempayan, namun dalam perjalanan pulang, Muhammad Syukur ada mengadu loya dan terus muntah-muntah. Oleh kerana risau ia simptom akibat insiden terjatuh itu, beliau dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama lewat malam tadi.
Menurut Khamis, Muhammad Syukur yang sejak kecil telah biasa bersama lebih 100 ekor kerbau peliharaannya tidak pernah terjatuh sebelum ini dan kejadian itu adalah pertama kali berlaku.
Insiden itu berlaku ketika sesi fotografi, untuk merakamkan aksinya melompat dari belakang seekor kerbau ke seekor kerbau lain.
Sementara itu, abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 29, yang membawa beliau ke HSNZ berkata adiknya itu terpaksa bermalam di wad hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Setakat ni, Syukur baik-baik sahaja, cuma doktor mahu lakukan pemeriksaan lebih teliti untuk memastikan insiden jatuh itu tidak memberi kesan kepadanya," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!