Tekad calon Bebas lawan rasuah
MELAKA - Henti 'umpan undi' kerana rakyat kini sedar dan sudah tertutup hati dengan amalan rasuah dan tidak bermaruah itu.
Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali berkata, perbuatan menyogok dan mengumpan wang kepada orang ramai menjelang pilihan raya bukan satu perkara baharu, namun seperti didiamkan kerana kedua-dua pihak beroleh manfaat.
Saintis yang bertanding atas tiket Bebas itu berkata, kewajipan pengundi adalah memilih pemimpin di atas dasar kelayakan dan kesungguhan calon untuk membela nasib rakyat di kawasannya.
"Pilih pemimpin yang berkaliber untuk membawa suara rakyat. Bagi calon bertanding, bersainglah secara sihat dan bukannya mengamalkan budaya kotor," katanya.
Sementara itu, calon Bebas DUN Sungai Udang, Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hashim berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Melaka menunjukkan satu perubahan besar dengan memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti tinggi.
"Tamatkan amalan menerima umpan undi daripada calon-calon yang berkempen. Rakyat Melaka mampu melakukannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!