13 tahun dikongkong bapa, akhirnya Britney Spears bebas

Peminat Britney bersorak di luar pekarangan mahkamah selepas keputusan itu diumumkan. - Foto EPA
Peminat Britney bersorak di luar pekarangan mahkamah selepas keputusan itu diumumkan. - Foto EPA
A
A
A

LOS ANGELES - Hakim Mahkamah Los Angeles menamatkan kebenaran hak jagaan terhadap penyanyi terkenal Britney Spears selepas 13 tahun.

"Berkuat kuasa hari ini, hak jagaan terhadap Britney Jean Spears dan aset miliknya dibatalkan," kata Hakim Brenda Penny selepas perbicaraan semula kes tersebut pada Jumaat.

Tambahnya, individu yang dilantik sebagai penjaga (conservator) ketika ini boleh meneruskan khidmatnya bagi menyelesaikan segala isu kewangan berkaitan kes tersebut.

Sebelum ini, penyanyi "Piece of Me" berusia 39 tahun itu merayu kepada mahkamah untuk menamatkan arahan tersebut yang telah mengongkong kehidupan peribadi selain aset bernilai AS$60 juta miliknya sejak 2008.

Dia tidak menghadiri perbicaraan di mahkamah pada Jumaat.

Peminat Britney bersorak di luar pekarangan mahkamah selepas keputusan itu diumumkan selain turut menyanyikan lagu hit penyanyi tersebut "Stronger".

Bapa Britney, Jamie Spears sebelum ini mula memikul peranan sebagai penjaga selepas menerima arahan mahkamah pada 2008 apabila Britney didakwa mengalami masalah kesihatan mental.

Selepas mendedahkan dia tertekan dengan perintah mahkamah itu, Britney terima sokongan orang ramai dan melantik seorang peguam bagi menyingkirkan bapanya daripada tugas tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini mencetuskan pergerakan #FreeBritney yang sering digunakan di pelbagai platform media sosial oleh penyokong serta peminatnya dari seluruh dunia.

Dalam perbicaraan di mahkamah pada Jun lepas, Britney berkata dia mengalami tekanan dan mahu kehidupannya kembali seperti biasa secepat mungkin. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!