Covid-19: 41 lagi kematian direkod, 8 BID
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 41 kematian baharu akibat jangkitan Covid19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,576, daripada 2,529,791 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal CovidNow, lapan daripada 41 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Menurut data itu lagi, terdapat 64,277 kes aktif Covid-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 50,063 individu atau 77.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Sementara itu, seramai 7,966 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 5,705 kes dirawat di hospital dan 543 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 275 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 268 lagi memerlukan mesin ventilator.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!