Calon PH sudah 'berkempen' sejak pandemik

DUN Kelebang menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).- Foto fail Bernama
DUN Kelebang menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).- Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA TENGAH - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Datuk Gue Teck berkata, beliau tidak bersandarkan kempen selama 12 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Beliau berkata, ini kerana selaku penyandang kerusi itu, pelbagai inisiatif sudah dilakukan sebelum ini bagi mendekati masyarakat.

“Untuk berkempen selama 12 hari pada PRN ini, saya rasanya tidaklah.

“Sebab kita sudah kerap turun padang lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19. Pada saya itu juga sudah seperti kempen,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau berkata, disebabkan prosedur operasi standard (SOP) PRN kali ini agak ketat, beliau cuba sedaya upaya mengelakkan berlaku perkara yang tidak dibenarkan.

Katanya, pihaknya lebih banyak menggunakan medium edaran risalah dan rakaman video untuk disiarkan secara dalam talian bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita ikut ketat SOP sebab tidak mahu cari masalah. Ada juga ke kedai kopi, pasang bendera, edar risalah dan buat rakaman video.

“Kempen guna pembesar suara juga tidak buat kerana perlu mendapatkan permit polis dahulu. Ini agak menyukarkan pergerakan kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, bagaimanapun optimis meskipun pergerakan kempen PRN Melaka ini agak perlahan, tidak akan menjejaskan ‘mood’ pengundi untuk keluar memilih wakil rakyat mereka.

DUN Kelebang menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Gue Teck yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 789 bakal menentang Bakri Jamaluddin (PN-Pas) dan Datuk Lim Ban Hong(BN-MCA).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!