Muhyiddin hanya berani cakap: Nur Jazlan

Gambar dari kiri: Muhyiddin, Nur Jazlan
Gambar dari kiri: Muhyiddin, Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengugut boleh menarik sokongan parti itu terhadap kerajaan negeri Johor sebagai hanya berani cakap tetapi takut hendak buat.

Tegasnya, UMNO Johor bersedia pada bila-bila masa untuk berhadapan dengan Bersatu sama ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

"Saya juga sudah kenal sangat sikap Muhyiddin, dia hanya berani cakap dan ugut sahaja tetapi takut hendak buat.

"UMNO Johor tiada masalah untuk lawan Bersatu sebab kita tahu parti dia bukan kuat sangat. Kita sedia bertembung dengan parti Muhyiddin dalam PRN atau PRU15," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Nur Jazlan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan cabaran dibuat veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad agar Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor adalah berniat jahat dan tidak bijak.

Beliau berkata, pihaknya boleh berbuat demikian, namun adalah tidak wajar untuk mengheret rakyat Johor menerima nasib sama seperti rakyat Melaka setelah apa yang dilakukan UMNO di Melaka.

Jelas Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, kegentaran Muhyiddin disebabkan beliau tahu Bersatu tiada kekuatan dan nasib Bersatu dalam PRN Melaka juga masih terumbang ambing.

Katanya, jika Bersatu gagal di Melaka nanti, ia menjadi petanda awal hayat parti itu bakal berakhir pada PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu Muhyiddin tengah risau dengan nasib parti dia pada PRN Melaka. Dia tahu Bersatu tak kuat, tak ada jentera pilihan raya, sebab itu dia harapkan Pas.

"Tapi masalahnya, Pas bukan sebuah parti yang kuat di Melaka. Kalau PN kalah maknanya nyawa mereka sudah tidak panjang. UMNO Johor sedia untuk 'kuburkan' Bersatu lebih awal di Johor jika Muhyiddin berani menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor," katanya.

Justeru, beliau menasihati Pengerusi Perikatan Nasional itu supaya berhati-hati jika mahu bercakap atau mengeluarkan ugutan serta menuduh pemimpin UMNO menjadi punca kemelut politik di Melaka.

"Dia (Muhyiddin) mudah sahaja tuduh hanya UMNO jadi punca pembubaran DUN Melaka, sedangkan ada juga wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah.

"Kerana hendak tutup aib sendiri, dia buka pekung orang lain. Itulah sikap Muhyiddin selama ini, seolah-olah dia seorang sahaja yang baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!