Jangan 'simpan' anak OKU di rumah: Cikgu Aziah

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Aziah Mohd Saad, 60, atau Cikgu Aziah bersama anaknya Mujahid Abdul Ghani, 29, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang membantunya berkempen di kawasan Kuala Linggi.- Foto Bernama
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Aziah Mohd Saad, 60, atau Cikgu Aziah bersama anaknya Mujahid Abdul Ghani, 29, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang membantunya berkempen di kawasan Kuala Linggi.- Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pengalaman lebih 20 tahun mendidik anak-anak istimewa sudah cukup untuk menyuburkan sifat kental dan sabar dalam diri Aziah Mohd Sa’ad atau Cikgu Aziah, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Justeru kelebihan itu akan dimanfaatkan dalam perjalanannya sebagai wakil rakyat kawasan itu jika diberi mandat oleh pengundi pada PRN kali ini.

Aziah, 60, yang memiliki seorang anak istimewa Mujahid Abdul Ghani, 29, juga akan mengangkat isu pendidikan anak orang kurang upaya (OKU) sebagai antara misinya pada pilihan raya ini.

“Masih ramai ibu bapa ‘menyimpan’ anak-anak OKU di rumah sedangkan anak-anak ini perlu dihantar ke sekolah pendidikan khas supaya potensi diri mereka boleh dicungkil sekali gus berupaya menguruskan diri sendiri.

“Mereka ini kita gelar anak syurga, tiket kita untuk masuk syurga, tetapi jika tidak kena caranya, umpama kita dapat tiket bola sepak tetapi bila nak masuk stadium tiket tertinggal di rumah, maka kita tak dapat masuk ke dalam stadium,” katanya kepada Bernama di sini.

Aziah berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu mendaftarkan anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya pihak terlibat boleh menyalurkan pelbagai bantuan termasuk pendidikan.

Selain isu OKU, Aziah juga memperjuangkan pendidikan terutama dalam kalangan anak-anak nelayan di Kuala Linggi.

Pesara guru itu sedar golongan nelayan banyak menghabiskan masa di laut dan mungkin kurang mengambil berat tentang pendidikan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

“Ada anak-anak nelayan yang membantu ibu bapa mereka menjadi nelayan, kadang-kadang mereka tidak ke sekolah sebab sudah letih turun (ke laut) tangkap ikan.

“Lalu bagaimana anak-anak ini akan menjadi harapan untuk mengubah kehidupan keluarga jika mereka terperangkap dalam situasi seperti ini,” katanya.

Selaku calon wanita, pembangunan ekonomi wanita di Kuala Linggi turut menjadi perhatian Aziah dan tekad untuk memberikan sebanyak mungkin bantuan dari segi modal dan ilmu agar golongan wanita di kawasan itu mampu menjana pendapatan dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Beliau turut melihat potensi Kuala Linggi sebagai tempat pelancongan dengan membangunkan kawasan itu sebagai satu lagi tarikan produk ikan bakar seperti Umbai, Muara Sungai Duyong dan Alai.

“Pelancong akan mempunyai banyak pilihan jika mereka mahu makan di sini. Di sini kita mempunyai Restoran Ikan Bakar Terapung Fort Supai yang boleh kita promosikan lebih giat,” katanya.

Pada hari pengundian yang ditetapkan 20 November ini, Aziah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Masjid Tanah akan menentang Rosli Abdullah (BN), Julasapiyah Kassim (PH) dan Kamisan Palil (Bebas).

Selain aktif berpolitik, isteri kepada bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman itu turut menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menjahit dan membekalkan peralatan pelindung peribadi (PPE) kepada Hospital Besar Melaka apabila hospital itu mengalami kekurangan peralatan ketika Covid-19 melanda negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!