Kekeliruan antara mitos, sejarah dalam lagu rakyat rugikan budaya
KUANTAN - Kekeliruan antara sejarah dan mitos dalam lagu-lagu rakyat akan mencacatkan kajian serta ilmu muzikologi itu sendiri selain merugikan perkembangan budaya negara bangsa.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan bagi lagu rakyat, Datuk Aripin Said berkata, agak mendukacitakan apabila kekeliruan itu berlaku dalam kalangan rakyat negara ini sedangkan bagi pengkaji barat perbezaan itu cukup jelas.
Menurutnya, antara kekeliruan yang timbul dalam kalangan pengkaji sejarah dan peminat lagu rakyat ialah berhubung puteri legenda, Wanang Seri yang dikatakan sama dengan Walinong Sari.
"Sebenarnya, watak Walinong Sari adalah mitos, manakala Wanang Seri adalah sejarah yang berkait dengan negeri Pahang.
"Walinong Sari adalah lagu rakyat yang diwarisi Ismail Yen daripada Pawang Dukin dari Kampung Luit, Pahang, manakala Wanang Seri anak kepada Maharaja Dewa Suradari Inderapura (Pahang) yang diperisterikan Sultan Mansor Shah dari Melaka," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Aripin berkata, hasil perkahwinannya, Wanang Seri mendapat dua putera iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
"Raja Muhammad merupakan Sultan Pahang pertama. Baginda telah dihantar ke Pahang kerana kesalahannya membunuh anak Bendahara Paduka Raja bernama Tun Besar ketika bermain sepak raga.
"Raja Muhammad mangkat pada tahun 1475 dan dimakamkan di Pahang Tua, Pekan," katanya.
Beliau berkata, watak Wanang Seri jelas bukan mitos dan jauh berbeza dengan watak Walinong Sari yang dikatakan sebagai orang yang sama terutama melalui media sosial.
“Saya banyak menerima pertanyaan daripada sarjana luar yang mengkaji tentang etnomuzikologi ini mempersoalkan mengapa watak itu disamakan sedangkan kajian sarjana barat telah lama mengetahui perbezaan itu," katanya.
Aripin berkata, antara pengkaji barat masa lalu yang membuat kajian tentang hal ini ialah RO Winstedt, RJ Wilkinson dan Frank Swetenham.
"Sekarang sebuah lagi lagu rakyat yang mendapat perhatian sarjana luar negara iaitu lagu Puteri Kayang yang berasal dari daerah Bera iaitu di Kampung Batu Bor, Karai dan Bohor.
"Lagu ini didapati dari Yang Sokme, seorang penduduk Kampung Batu Bor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!