Ekonomi APEC sepakat laksanakan Wawasan Putrajaya 2040

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) berakhir dengan memberangsangkan pada Jumaat, menyaksikan semua ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sepakat berikrar untuk melaksanakan Wawasan Putrajaya 2040 dengan menerima pakai Pelan Tindakan Aotearoa.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, AELM itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dengan penyertaan kesemua 21 pemimpin negara anggota APEC.

Mengetuai delegasi Malaysia ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menekankan keperluan menyaksikan lebih banyak usaha multilateralisme vaksin dilaksanakan menerusi kerjasama lebih erat dalam aspek pengedaran dan perakuan berkaitan.

Beliau berkata, pendekatan ini penting bagi menyalurkan sokongan padu dalam usaha kolektif untuk menangani pandemik serta menyediakan keperluan sewajarnya demi kelangsungan pemulihan ekonomi.

Perdana Menteri turut menegaskan pentingnya dasar perdagangan untuk menyokong usaha rantau ini bagi mengatasi halangan-halangan yang tidak wajar, terutama yang dapat mempercepat dan mempermudah aliran rantaian bekalan vaksin.

Sementara itu, sebagai tonggak penting APEC 2021, MITI berkata, pelancaran Pelan Tindakan Aotearoa merangka tindakan individu dan kolektif yang komprehensif untuk dua dekad akan datang, untuk melaksanakan Wawasan Putrajaya 2040 bagi mencapai serta mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan serta aman untuk kemakmuran serantau.

“Deklarasi Pemimpin Ekonomi APEC yang dikeluarkan pada penghujung AELM menyaksikan para pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk bersama-sama bertindak balas terhadap krisis segera dengan perdagangan dan pelaburan sebagai pemboleh kritikal dalam menangani kesan Covid-19 bagi memastikan pemulihan ekonomi APEC yang kukuh, inklusif dan mampan,” kata kementerian itu.

Sebelum mesyuarat AELM, para pemimpin mengadakan dialog dengan Majlis Penasihat Perniagaan APEC yang mana Ismail Sabri menekankan penting bagi sektor swasta untuk mengambil peranan yang aktif dan berkesan bersama-sama kerajaan dalam mengemudi rantau ini ke arah pemulihan ekonomi yang teguh.

Artikel Berkaitan:

Thailand mengambil alih jawatan pengerusi dari New Zealand dan akan menjadi tuan rumah bagi APEC 2022. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!