Sekolah perlu komited basmi dadah: AADK
YAN - Sikap komited sesetengah pihak menganjurkan pelbagai program berkaitan kesedaran bahaya dadah seharusnya dipuji.
Ketua Unit Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Yan, Mohamad Farid Mohd Noor berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada pihak sekolah kerana sering memberikan kerjasama yang baik.
Katanya, setiap kali mahu menjalankan program berkaitan dadah sekolah sangat komited membantu pihaknya.
"Hari ini (semalam) kita telah melakukan pelancaran bulan antidadah peringkat sekolah bagi Sekolah Kebangsaan Padang Lumat.
"Terdapat beberapa pengisian telah dijalankan ketika program berkenaan antaranya ialah ceramah anti dadah yang disampaikan oleh pihaknya sendiri," katanya.
Menurut Mohamad Farid, selepas tamat sesi ceramah, turut dianjurkan kuiz yang mengandungi soalan berkaitan dadah.
"Ini adalah bertujuan menguji pelajar tahap pengetahuan mereka berkaitan dadah dan kesan jika terlibat," katanya.
Mohamad Farid berkata, selain itu program turut diisi dengan pameran, tayangan video dan pertandingan mewarna.
"Kesemua pengisian di dalam program ini adalah bertujuan untuk mendedahkan pelajar berkaitan dengan dadah dan juga membantu mereka mengenali dadah dengan lebih dekat," katanya.
Tambah Mohamad Farid, pihaknya yakin apabila pelajar mengetahui baik buruk kesan berkaitan dadah ini mereka akan berfikir banyak kali sekiranya mahu melibatkan diri.
"Kesan penyalahgunaan dadah juga ditekankan sepanjang pengisian ini supaya mereka tidak berani untuk mencuba.
"Kita faham jiwa remaja seperti mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang menebal.
"Oleh itu kita kongsikan kepada mereka berkaitan baik dan buruk dadah ini supaya mereka bijak untuk menilai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!