Mangsa kemalangan rayu pulangkan kembali barangan peribadi
KUALA TERENGGANU - "Niat untuk membantu sudah baik namun tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil barangan peribadi mangsa tidak dapat dimaafkan," luah anak saudara mangsa kemalangan di Lembah Bidong, Setiu, pada Selasa lalu.
Abdul Hafiz Embong, 30, berkata, dua bapa saudaranya, Rosli Mat, 54 dan Mazlan Mat, 40 yang bekerja sebagai tukang rumah terlibat kemalangan sekitar jam 6 petang, 9 November lalu.
"Barangan peribadi milik bapa saudara saya iaitu dompet dan telefon bimbit disedari hilang selepas van yang mereka berdua naiki terbabas kerana mengelak haiwan yang tiba-tiba muncul di tengah jalan.
"Sehingga kini barangan itu masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Abdul Hafiz berkata, dia turut menularkan usaha mencari barangan peribadi bapa saudaranya itu menerusi media sosial Facebbok.
Katanya, dia terpanggil untuk berkongsi perkara itu menerusi media sosial Facebook Kuala Terengganu Residen (Kuterer) dengan harapan barangan berharga milik mangsa berjaya ditemui semula.
"Bapa saudara saya bekerja sebagai tukang rumah.
Pada hari kejadian dia baru sahaja mendapat gaji untuk menyara isteri dan lima anak.
"Akibat kemalangan itu bapa saudara saya mengalami patah pada bahagian lengan selain tidak dapat bekerja dan terpaksa berulang alik ke hospital,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!