Andai dapat diundurkan masa
SEPERTI kata Imam Ghazali, yang paling jauh itu adalah masa silam yang tidak akan kembali. Seburuk manapun masa silam yang dilalui, ia tidak akan dapat diputar kembali dan diperbaiki. Begitulah berharganya masa sehinggakan diabadikan dalam peribahasa yang menjadi sebutan ramai.
Siapa yang tidak tahu tentang peribahasa "masa itu emas". Jika peribahasa ini menjadi kenyataan, pastinya setiap individu yang tahu menghargai masa telah jadi kaya-raya. Betapa beruntungnya mereka yang berjaya memanfaatkan setiap saat dari masa yang ada dalam kehidupannya. Adalah suatu kerugian kepada sesiapa yang mengabaikan masa atau membiarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang aktiviti menambahbaik nilai diri.
Begitulah juga realiti yang berlaku dalam kehidupan masa kini. Jika masa tidak diisi dengan perkara yang bermanfaat maka masa terasa berlalu terlalu pantas dan tanpa disedari ia telah jauh meninggalkan kita. Ini ditambah pula dengan perkembangan teknologi masa kini yang ada kalanya melekakan setiap individu tanpa menyedari kecepatan masa berlalu.
Jika masa dikaitkan dalam kehidupan di alam pekerjaan, maka alasan kesuntukan masa untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) perlu dilihat secara menyeluruh. Sebenarnya bukan faktor ukuran panjang atau pendeknya masa yang menjadi pokok bicara pencapaian matlamat, tetapi bagaimana tempoh masa yang terhad itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh individu. Bekerja dalam masa yang panjang tidak semestinya membuahkan hasil terbaik. Pada masa sama, masa bekerja yang pendek pula tidak bermakna menyebabkan matlamat dan produktiviti gagal dicapai.
Terdapat pula pekerja yang sering menyiapkan tugas di luar waktu bekerja atau membuat kerja lebih masa (over time, OT). Tidak cukup dengan itu, melalui perkembangan teknologi komunikasi dan multimedia, pekerja menyambung kerja di rumah bagi mana-mana tugas yang tidak sempat diselesaikan di pejabat.
Persoalannya, benarkah pekerja memerlukan masa bekerja yang lebih untuk menyempurnakan KPI atau menyelesaikan sesuatu tugas? Jika mereka ada masa untuk ‘mengular’, melepak di bilik pantri sambil bergosip atau berniaga dalam talian sewaktu bekerja, sudah tentu mereka mempunyai begitu banyak masa lapang yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan tugas hakiki masing-masing!
Selain itu, apakah pula alasan pekerja yang ‘mencuri’ masa bekerja dengan melayan pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, YouTube, Twitter, WeChat, Snapchat, Facebook Messenger, LINE dan Instagram? Jadi, keluhan tidak cukup masa dan keperluan kepada OT perlu direnung dan dikaji secara mendalam oleh semua pemegang taruh.
Dalam kehidupan berkeluarga juga, pembaziran masa sangat sering berlaku dalam kalangan kita. Sepatutnya kesempatan masa yang ada dihabiskan bersama dalam merungkai hubungan sosial yang lebih bermakna.
Bagaimanapun, masa yang ada berlalu begitu sahaja dek pengaruh teknologi yang menjadi virus menular dan menguasai kita. Bukan sahaja di restoran, virus ini menjadi wabak yang cepat menular di segenap ceruk rantau, tidak kira di kota mahupun desa, di warung kopi, pusat beli-belah, atau rumah ibadat.
Semua orang sibuk melayan dan membelek gajet masing-masing, tidak kira waktu dan tempat. Semua orang kini tidak bercakap sesama sendiri. Ibu bapa tidak lagi menghiraukan anak-anak, dek kesibukan ber'wassap’, ber'FB’ dan sebagainya. Anak remaja leka menekan butang ‘like’, ‘follow’ dan pelbagai butang lagi di laman Instagram (IG) masing-masing. Anak-anak kecil juga tidak lagi merengek menuntut perhatian ibu-bapa kerana mereka sudah ada teman di dalam gajet di tangan.
Semua golongan, kecil, tua dan muda seperti seorang yang dilahirkan kembar dengan sebuah gajet. Inilah hakikat yang terpaksa kita telan, yang mana menunjukkan betapa teknologi telah meragut sisa masa yang ada bersama keluarga. Bukan teknologi yang harus dipersalahkan, tetapi kita membiarkan diri dirasuk dan dikuasai oleh teknologi.
Kita semua mengakui hakikat bahawa betapa bertuahnya mereka yang tahu menghargai masa dan menggunakannya dengan produktif. Kedapatan pekerja yang bekerja dalam tempoh masa yang ditetapkan tetapi masih mampu mengekalkan kecemerlangan dan produktiviti. Ia mungkin disebabkan oleh pengurusan masa yang baik dan perancangan tugas yang tuntas.
Justeru, pekerja sebegini berupaya mengoptimumkan masa di luar waktu bekerja dengan aktiviti sosial dan kekeluargaan. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin tanpa gangguan persekitaran terutamanya teknologi. Individu yang menghargai masa tentunya berjaya menyeimbangi kehidupan peribadi dan kehidupan berkerjaya. Pupuk dan bugarkan kebahagian, kesihatan, ketenangan dan kasih sayang dalam sisa masa yang masih ada kerana masa yang telah berlalu pergi tidak boleh diundur kembali.
* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!