Jangan jadikan PRN Melaka bahan uji kaji: Ahmad Maslan
MELAKA - Penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai medan uji kaji sepertimana yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
''Kepada BN, penyokong dan juga jentera, kita jangan membuat eskperimen ketika PRN ini dengan memilih orang lain.
Kerana nak buat eskperimen, nak tukar kerajaan pada 9 Mei 2018, eksperimen itu terbukti eksperimen yang silap dan salah.
"Sebab itu kita tidak mahu pilihan raya dijadikan uji kaji kerana kos politiknya begitu tinggi kepada rakyat dan negara,'' katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Ahmad juga mengingatkan jentera kempen BN menggunakan sebaiknya kebenaran mengadakan mesyuarat dan taklimat sepanjang PRN Melaka untuk memastikan aliran maklumat antara calon dan pengundi berjalan lancar.
Beliau berkata, jentera kempen parti jangan menjadikan larangan dan sekatan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai satu kongkongan hingga tidak dapat melakukan sebarang kerja.
''Kita buat apa yang dibenarkan, boleh adakan mesyuarat dan taklimat. Jadi perbanyakkanlah mesyuarat kerana dia (SPR) tak sebut di mana mesyuarat itu diadakan.
Begitu juga taklimat jentera yang dibenarkan. Jadi buatlah taklimat itu pagi, tengah hari, petang malam,'' katanya.
Pada masa sama, beliau menasihati jentera kempen BN agar berkempen secara beretika dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik termasuk membuat fitnah.
UMNO di bawah tiket BN bertanding di 20 buah kerusi pada PRN ini manakala rakan gabungan iaitu MCA (tujuh) dan MIC (satu) daripada kesemua 28 kerusi yang ditawarkan.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!