Banjir di Kedah semakin pulih, hanya satu PPS dibuka
ALOR SETAR - Keadaan banjir di Kedah semakin baik dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di daerah Pendang setakat jam 4 petang pada Sabtu.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, PPS yang masih beroperasi adalah di Dewan Cenderawasih.
"Jumlah mangsa ditempatkan di PPS Dewan Cenderawasih juga berkurangan kepada 33 mangsa dari 12 keluarga berbanding 35 orang dari 13 keluarga setakat jam 12 tengah hari.
"PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang dibuka sejak 21 Oktober lalu juga ditutup sepenuhnya jam 4 petang tadi apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, dengan ini, hanya sebuah PPS masih aktif selepas PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau ditutup jam 10 pagi pada Sabtu dan Dewan Rakan Sukan Tanah Merah ditutup jam 4 petang hari yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!