700 peserta dijangka sertai sidang digital terbesar Selangor
SHAH ALAM - Seramai 700 peserta dijangka terlibat dalam Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 pada 19 hingga 21 November ini.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi kenyataan memaklumkan, penganjuran edisi keenam itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur secara maya.
SDEC 2021 yang merupakan persidangan digital terbesar Selangor itu adalah acara tahunan di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dengan membawa tema Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi,
“Konvensyen ini mengumpulkan pemain industri, ahli akademik, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan individu dari pelbagai sektor untuk mendalami serta mengembangkan ekosistem pendigitalan sedia ada dan masa hadapan.
“Tiga aktiviti teras dipilih untuk mencerminkan tema tahun ini iaitu perbincangan panel selama dua hari dan Pitch@Selangor serta Liga Super Selangor,” kata Sidec dalam kenyataan pada Sabtu.
Persidangan itu bakal dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 20 November dan turut diserikan dengan kemunculan penyanyi terkenal tanahair, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!