Keselamatan, infrastruktur asas utama bandar sempadan Sabah-Kalimantan
KALABAKAN - Pembangunan bandar sempadan baharu di Sebatik, Tawau serta Serudong, Kalabakan di sini yang menjadi pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia, turut perlu menitikberatkan pengukuhan keselamatan dan pembangunan infrastruktur asas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berkata, dua perkara itu perlu dilaksanakan selari bersama pembangunan bandar sempadan yang dicadangkan.
"Dari aspek keselamatan ini juga satu keperluan kerana sedia maklum hanya terdapat dua pos kawalan keselamatan di kawasan sempadan dari Kampung Sungai Melayu, Sebatik sehingga Serudong, Kalabakan ini berbanding lapan pos kawalan keselamatan di Kalimantan, Indonesia.
"Apa yang saya bimbangkan di dalam kawasan saya sendiri terdapat 29 laluan tikus yang dikenal pasti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melibatkan penyusupan pendatang haram serta penyeludupan, saya harap perkara ini diberi perhatian kerana ia tidak sihat untuk ekonomi dan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan sempadan Serudong dan Simanggaris, Indonesia bersama Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah di sini pada Sabtu.
Pada Selasa lepas, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, Lembaga Kemajuan Wilayah (RDA) akan ditubuhkan bagi menguruskan bandar sempadan baharu di Serudong, Kalabakan yang akan menjadi satu daripada empat pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia ke Sabah.
Tiga lagi pintu masuk adalah di Long Pasia, Pagalungan dan Sebatik.
Sementara itu, Hassan berkata, kerajaan perlu memastikan pembangunan infrastruktur asas iaitu jalan raya, bekalan air dan elektrik sebelum pembangunan bandar sempadan dilaksanakan segera kerana penyediaan kemudahan asas cerminan kepada imej negara.
"Bagaimana kita mahu bangunkan kawasan sempadan tanpa kemudahan asas baik disediakan terlebih dahulu... bukan mahu membandingkan tetapi hampir 1,000 kilometer (km) jalan raya di Kalimantan sudah disiapkan sebagai persediaan pemindahan ibu kota Indonesia ke wilayah itu pada 2024," katanya.
Sementara itu, Masiung berkata, LPPB bersedia membantu RDA kelak mengenai konsep pembangunan empat bandar sempadan baharu membabitkan Long Pasia, Pagalungan, Sebatik dan Serudong di Sabah yang menjadi pintu masuk dari Kalimantan.
"Peranan LPPB adalah bangun bandar maka saya dalam lawatan tiga hari sehingga hari ini bersama pegawai datang sendiri melihat Sebatik serta Serudong dan selepas ini akan ke Pagalungan, kita ada kemahiran dalam pembangunan bandar untuk memastikan bandar sempadan dapat direalisasikan," katanya.
Menurutnya lagi, kemajuan pesat sebuah negeri itu terbentuk bermula dari pembangunan infrastruktur asas yang sempurna dan untuk itu diharapkan kerajaan pusat dapat memberi fokus dan bantuan kepada Sabah.
"Tadi sampai sempadan Serudong-Simanggaris, saya rasa agak rasa terkilan, kecewa kerana di sebelah Indonesia, jalannya cukup cantik, tetapi kita di Serudong kalau tidak pakai kenderaan lasak pacuan empat roda, kita tidak boleh sampai ke sempadan," katanya. Perjalanan dari Rumah Rehat Kalabakan ke sempadan Simanggaris sejauh 36 kilometer itu memakan masa sehingga enam jam.
Beliau berkata, tanah seluas 170 hektar di kawasan Kampung Sungai Melayu di Sebatik yang bersempadan Indonesia akan dibangunkan secara berperingkat dengan konsep bandar pelancongan termasuk pembinaan pusat komersial, perhotelan, padang golf dan perumahan.
"Cumanya kita harap pelabur atau pemaju sama ada tempatan atau luar negara tampil membantu LPPB membangunkan kampung tersebut dengan konsep bandar pelancongan dan setakat ini terdapat seorang pelabur tempatan berminat.
"LPPB juga ketika memperuntukkan RM3 juta untuk pembangunan infrastruktur yang bermula pada tahun ini," katanya dan menambah Kampung Mentadak di Sebatik yang berhampiran Nunukan, Indonesia berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pelancongan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!