PRN Melaka medan persiapan Putra ke gelanggang PRU15: Presiden

Ibrahim Ali - Foto fail Bernama
Ibrahim Ali - Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Langkah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah sebagai persiapan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, Putra merupakan kuasa ketiga dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

“Putra adalah payung bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keselamatan dan kesejahteraan, yang bersih dan bermoral,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Ibrahim berkata, Putra bertekad membetulkan keadaan yang tidak betul supaya semua kaum di Malaysia seimbang dalam semua aspek kehidupan.

Katanya, ia termasuk pengagihan ekonomi negara, dasar-dasar yang satu, tiada dwistandard dan unggul demi kelangsungan keselamatan negara dan rakyat.

“Kaum pribumi yang majoritinya 70 peratus merupakan kaum asal wajib dihormati dan kehidupannya mesti selesa dahulu sebelum hendak memberi muka kepada pihak lain atau merobek hak bangsa terjamin dalam perlembagaan negara,” tegasnya.

Pada PRN Melaka yang dijadual pada 20 November ini Putra meletakkan calon di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Perhubungan Putra Melaka, Mohd Aluwi Sari akan bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu, Ketua Wira Putra negeri, Mohamad Hashidi Mohd Zin (Paya Rumput); Nazatul Asyraf Md Dom (Sungai Rambai); Ketua Biro Wanita Putra Melaka, Laila Norinda Maon (Gadek) dan Ketua Bahagian Putra Melaka, Mohd Faizal Amzah (Duyong). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!