Hukuman keras untuk penghina agama
BEBERAPA pertubuhan dan parti politik membantah keras terhadap beberapa individu sengaja menghina dan mencerca agama Islam dalam media sosial sejak kebelakangan ini. Mereka mendesak agar pihak berkuasa, wajib mengambil tindakan tegas dan menghukum individu atau mana-mana pihak yang menghina agama.
Sikap celupar, kurang ajar dan biadab segelintir individu yang menghina institusi Islam dan Nabi Muhammad SAW dilihat semakin berleluasa bahkan, dengan berani dilakukan sejak akhir-akhir ini. Beberapa insiden segaja dilakukan untuk menghina Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saiditina Aishah.
Penghinaan sebegini sebenarnya ketara dan secara terus dapat dikenal pasti. Namun di laman sosial dan media alam maya, kita sering mendapati banyak penghinaan secara tidak langsung berupa sindiran yang mungkin kita tidak perasan. Pelbagai bentuk sama ada kandungan berupa teks, gambar, video, carta, data atau apa juga bentuk penghinaan dianggap salah di sini undang-undang. Persoalannya sama ada netizen memahami atau sengaja mewujudkan onak dan provokasi yang menyentuh persoalan agama.
Tindakan penghinaan agama berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, permusuhan, benci membenci atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang beragama Islam dengan kumpulan orang bukan beragama Islam di seluruh negara.
Walaupun berlaku proses pendakwaan dan perbicaraan, namun tindakan melepaskan pesalah “dianggap” kurang wajar. Sedangkan tindakan penghinaan agama ini membekas di hati umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah sesama saudara Islam sedunia.
Dunia pernah digemparkan dengan tindakan Ahmed Salman Rushdie yang menghasilkan novel "The Satanic Verses" (1988) - mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia. Malahan Ayatollah Ruhollah Khomeini dari Iran pernah mengeluarkan fatwa bunuh ke atas dirinya.
Contoh lain adalah kartun menghina Nabi, punca 12 orang dibunuh di Paris pada tahun 2015. Majalah mingguan"Charlie Hebdo" disifatkan sebagai penerbitan yang sering menyindir Islam dan agama lain sehingga menjadi buruan “pembela Islam”. Antara yang terbunuh ialah empat pelukis kartun terkenal Perancis yang selalu menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW), termasuk ketua pengarangnya Stephane Charbonnier.
Begitu juga penangkapan kolumnis akhbar Arab Saudi, Mohammad Najeeb A.Kashgari, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2012. Warga Arab itu yang lebih dikenali sebagai Hamza Kashgari, 23, ditahan polis atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Kolumnis berkenaan dilaporkan telah mengeluarkan satu laporan yang menghina Islam melalui Twitternya, yang menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi.
Kita perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di luar negara. Oleh itu, tindakan beberapa individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam di negara ini perlulah dibendung segera dan terus dipantau. Mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.
Sebenarnya kesalahan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama akan dimasukkan dalam Kanun Keseksaan (Akta 574). Pindaan terhadap Akta 574 perlulah dibentangkan ke Kabinet dengan segera, sebelum usul pindaannya dibawa pada sidang Dewan Rakyat.
Kita mengharapkan agar pindaan akta berkenaan bakal menyaksikan hukuman lebih berat menanti pesalah, selain mengetatkan beberapa proses pendakwaan termasuk operasi prosedur standard (SOP) pembuktian di mahkamah.
Secara dasarnya, menangani isu kebencian kaum dan agama, termasuk menghina Islam serta Rasulullah dengan niat, hendaklah dimasukkan dalam Kanun Keseksaan untuk pindaan. Ia bagi memastikan usaha mengekang dan menetapkan hukuman lebih tegas terhadap penghina agama termasuk Islam.
* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!