PRN Melaka: BN sukar ukur sokongan rakyat dengan SOP ketat
JASIN - [DIKEMASKINI] Barisan Nasional (BN) sukar mengukur sokongan rakyat secara jitu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berikutan kekangan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui jentera parti.
“Sentimen, semangat dan komitmen jentera dilihat amat tinggi... saya fikir itu kelebihan besar BN.
Namun, sentimen rakyat masih agak sukar untuk kita dapatkan, kerana kita kurang berjumpa secara bersemuka,” katanya di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Annuar yakin jentera parti mampu melakukan sesuatu bagi memastikan momentum berkempen akan terus mendapat sambutan yang memberangsangkan.
“Berdasarkan apa (yang) mereka maklumkan pada saya, rata-rata keadaannya sangat baik dan harap momentum berkempen ini dapat dikekalkan sehingga hari mengundi,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Pakatan Harapan (PH) supaya dianjurkan debat antara calon Ketua Menteri Melaka, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berpandangan ia tidak sesuai dilaksanakan menerusi platform media rasmi kerajaan, memandangkan pilihan raya itu hanya di dilaksanakan di sebuah negeri sahaja.
“Kita dah berbincang, buat masa ini ia belum sesuai untuk dilakukan melalui saluran nasional tetapi debat masih boleh dijalankan melalui portal dan juga saluran persendirian.
“Kita kena ambil kira selepas ini, akan ada lagi PRN di negeri yang lebih besar dengan jumlah calon lebih ramai, dan mungkin pilihan raya umum pada masa akan datang,” katanya.
Setakat ini, kata Annuar, keputusan kementerian hanya membenarkan RTM memberi pendedahan bagi memperkenalkan calon secara saksama, sama ada bagi parti atau calon Bebas.
Khamis lepas, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar satu debat terbuka dapat dianjurkan oleh kerajaan kepada calon-calon ketua menteri daripada parti yang bertanding di Melaka. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!