Angkasa luluskan sembilan pelan rancangan perniagaan bernilai RM82.4 juta
PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah meluluskan sembilan pelan rancangan perniagaan bernilai RM82.4 juta untuk tempoh lima tahun akan datang.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, rancangan tersebut bertujuan bagi menyokong usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperkasakan gerakan koperasi menerusi Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom).
“Antaranya adalah menaik taraf Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA), cadangan menjalankan perniagaan bank digital Islam, pembangunan kompleks baru Angkasa, permohonan pembiayaan MyAngkasa Services Sdn Bhd untuk membayar kos pembangunan projek solar dan permohonan mengubah pembiayaan ‘Commodity Murabahah Facility Angkasa’ daripada pinjaman kepada ekuiti di MyAngkasa Holding Sdn Bhd (MHSB).
“Selain itu, cadangan tambahan pelaburan bagi projek ternakan lembu tenusu dan ‘Heirfers Park’, permohonan kemudahan kredit pusingan untuk projek Coop hardware, permohonan kemudahan kredit pusingan untuk projek BA100 serta permohonan kemudahan kredit pusingan untuk projek Coop farmasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) 2021 di ibu pejabat Angkasa pada Sabtu.
Menurutnya, pelan yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan itu merangkumi projek sambungan dan juga projek baharu Angkasa.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, perkara utama yang turut dibincangkan dalam agenda MAPA 2021 adalah pemilihan jawatan presiden serta lima ahli lembaga Angkasa.
Beliau berkata, jawatan selaku Presiden Angkasa masih lagi dipegang olehnya dimana beliau menang tanpa bertanding.
“Kemudian untuk jawatan ahli lembaga Angkasa pula antaranya adalah Profesor Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak, Dr Mohd Azlan Yahya, Datuk Kamarudin Ismail, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa serta Datuk Mohamad Ali Hasan,” ujarnya.
Jelasnya, keputusan pemilihan tersebut diputuskan oleh 1,790 perwakilan.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa akan bertindak ke arah hala tuju dalam menjayakan program-program yang telah dilancarkan oleh kerajaan supaya selari dengan Bajet 2022 yang telah dibentangkan pada 29 Oktober lalu.
Katanya, ia merupakan tanggungjawab Angkasa untuk merangsang, memaju dan menjayakan perniagaan koperasi di dalam negara.
“Itu tugas utama yang diberi oleh kerajaan, jadi dalam konteks ini kita sedang mengenal pasti projek-projek sedia ada dan mencari projek baharu untuk kita perkenalkan kepada koperasi supaya kita boleh bergerak bersama-sama.
“Insya-ALLAH Angkasa sebagai ‘apex’ (pendahulu), kita akan menjadi ‘anchor’ (penyambung) kepada pembangunan ekonomi gerakan koperasi yang berjumlah 14, 600 buah yang berada di seluruh negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!