Majlis Rumah Terbuka Deepavali penanda aras program fizikal akan datang

Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin bersama Nancy melawat ke tapak kolum ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Jalan Ampang hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin bersama Nancy melawat ke tapak kolum ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Jalan Ampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 yang berlangsung malam ini dengan mekanisme prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bakal menjadi penanda aras bagi pelaksanaan program fizikal atau majlis sosial yang akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukry berkata, dalam penganjuran program MRTM, MOTAC telah menetapkan mekanisme kehadiran pengunjung berdasarkan norma baharu iaitu melalui pendaftaran awal secara dalam talian dan disusuli dengan pemeriksaan vaksinasi lengkap di pintu masuk.

"Selain itu, penguatkuasaan di keseluruhan tapak MRTM serta ingatan dari semasa ke semasa oleh petugas-petugas di lokasi berhubung pematuhan SOP, amalan penjagaan kebersihan tangan (sanitasi), penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka, sepanjang berada di majlis ini,” katanya dalam ucapan pada MRTM Deepavali 2021 di sini malam ini yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung daripada pelbagai kaum.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Nancy juga berkata, penganjuran MRTM Deepavali 2021 merupakan cerminan betapa negara kita berpegang teguh kepada keeratan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum yang hidup dalam suasana hormani merupakan identiti unik yang menjadi salah satu tarikan utama pelancong ke negara ini.

"Ia sekali gus menjadi kunci utama, dalam memulih dan merancakkan semula industri pelancongan Malaysia,”katanya.

Nancy berkata, malam ini merupakan sambutan MRT yang pertama dianjurkan oleh MOTAC secara fizikal, setelah penularan pandemik Covid-19 mulai Mac 2019.

Artikel Berkaitan:

"Pertemuan pada malam ini melambangkan kesepaduan, keserasian, dan keharmonian kita semua sebagai sebuah Keluarga Malaysia, dalam sama-sama meraikan perayaan Hari Deepavali, yang disambut oleh saudara kita, yang beragama Hindu,” katanya.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, pihaknya teruja melihat pelbagai lapisan masyarakat berhimpun bersama pada malam ini dan ini membuktikan konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

"Dalam hal ini, saya yakin sokongan padu yang kita tunjukkan tidak kira bangsa mahupun warna kulit terhadap usaha kerajaan inilah yang mencorakkan dan menjadi kayu ukur kemajuan dan kemakmuran negara kita,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!