Sarang kelulut 'unik' jadi tarikan
KUANTAN - Sentuhan kreatif pada sarang kelulut yang diternak memberikan satu perspektif baharu dan nilai tambah kepada usaha seorang pengusaha ternakan itu dari Kampung Cerating Baru di sini.
Selain menghasilkan madu kelulut yang mempunyai khasiat tinggi, sarang kelulut yang dibina dengan bentuk dan tema tersendiri itu turut menjadi daya penarik pengunjung ke galeri koleksi barang lamanya.
Bagi Abdul Majid Abdul Rahman, 51, yang juga pemilik galeri Pak Majid Cerating (PMC), keunikan pada sarang kelulut yang diusahakan di pekarangan rumah dan galerinya itu ada cerita tersendiri yang berkait rapat dengan perjalanan hidup dan pekerjaannya selama ini.
Menurutnya, ternakan kelulut itu mula diusahakan sejak tahun 2020 bagi aktiviti mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19.
"Pada mulanya saya buat sekadar suka-suka dan madunya hanya untuk kegunaan tersendiri.
"Ketika itu, timbul idea untuk saya hias bongkah kayu sarang kelulut ini menjadi sebuah hasil seni yang mungkin berbeza dengan sarang kelulut diusahakan orang lain," katanya.
Abdul Majid yang juga seorang pengumpul koleksi barangan lama berkata, beliau hanya menggunakan kayu dan barang terbuang sebagai bahan untuk menghias sarang kelulutnya itu.
"Awalnya saya hanya buat bentuknya berdasarkan idea spontan, namun tidak sangka hasilnya begitu unik dan secara tiba-tiba mengimbau kembali kisah perjalanan hidup dan pengalaman pekerjaan sebagai pegawai perhutanan di Johor dan Sabah sebelum ini.
"Salah satunya terbentuk seakan Bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru dan rumah Telupid di Sandakan, Sabah. Kedua-dua bangunan ini begitu dekat dengan kehidupan dan pekerjaan saya sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, dari situ beliau mula memperkemaskan sentuhan seni pada sarang kelulut tersebut membentuk seakan replika bangunan berkenaan.
"Selepas itu, saya buat beberapa sarang kelulut lagi dengan tema berbeza selain mengabadikan nama-nama keluarga diraja, pahlawan Melayu dan bintang sukan permotoran," katanya.
Abdul Majid berkata, selain membeli, beliau juga turut memperoleh log sarang kelulut itu dari kawasan hutan di belakang rumahnya.
"Setakat ini, ada lebih 20 sarang dengan tema tersendiri dan ada di antaranya sudah mengeluarkan hasil.
"Memandangkan ia kini sudah menjadi tarikan orang ramai, saya bercadang untuk menambah lebih banyak sarang kelulut dengan sentuhan seni dan keunikan tersendiri," katanya.
Menurutnya, pengunjung yang datang sama ada untuk menginap di rumah penginapan yang usahakan atau berkunjung ke galerinya berpeluang menikmati hasil seni uniknya itu.
"Menariknya mereka juga berpeluang untuk menikmati madu kelulut ini terus dari sarang.
"Alhamdulillah, seni pada sarang kelulut ini mendapat reaksi positif daripada pengunjung dan bagi mereka ia ternyata lain daripada yang lain," katanya.
Sementara itu seorang pengunjung, Engku Abdul Rahman Engku Ibrahim, 51, dari Putrajaya berkata, pengalaman melihat sendiri 'rumah' kelulut yang dibina Abdul Majid sesuatu yang mengagumkan bagi dia dan keluarga.
"Selain sarangnya yang unik dan lain daripada yang lain, peluang dapat menyedut madu kelulut terus dari sarang juga sesuatu pengalaman yang berharga.
"Untung anak saya berusia 24 tahun sudah dapat merasa pengalaman ini berbanding saya yang baru merasainya pada usia 51 tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!