Diberhentikan kerja akibat PKP, minat kerja di hotel sudah hilang

(Dari kiri) Arif, Muhammad Azief, Mohd Azmir
(Dari kiri) Arif, Muhammad Azief, Mohd Azmir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pekerja hotel yang diberhentikan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini tidak lagi berminat untuk memohon semula kerja dalam sektor itu.

Muhammad Azief Azmi, 29, berkata, dia telah bekerja dalam industri perhotelan sejak enam tahun sebelum ditamatkan perkhidmatan akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, pada masa sekarang, gaji yang ditawarkan dilihat tidak setimpal dan ramai bekas pekerja cenderung mencari pekerjaan lain.

“Jika ada gaji yang setimpal saya akan bekerja semula tetapi lebih baik mencari kerja lain daripada menerima gaji kecil,” katanya kepada Sinar Ahad pada Rabu.

Arif Hilmi Hakim, 26, pula berpendapat, ketidakstabilan kes Covid-19 dalam negara juga menyumbang kepada faktor mereka tidak mahu terlibat dalam sektor berkenaan.

Katanya, mungkin ada kekangan semula termasuk pelaksanaan PKP dan ketika itu peluang diberhentikan agak tinggi.

“Kami juga bimbang dengan keadaan syarikat perhotelan. Ketika PKP sebelum ini banyak hotel ditutup. Jika keadaan sama berlaku bagaimana kami boleh bertahan meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Seorang lagi bekas pekerja hotel, Mohd Azmir Mohshin, 37, berkata, kebanyakan hotel sudah tidak mampu membayar gaji pekerja setimpal dengan pekerjaan mereka kerana mengalami kerugian teruk.

Artikel Berkaitan:

“Saya diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19 dan hotel tempat saya kerja pun sudah menanggung kos kerugian.

“Sehingga kini saya masih mencari pekerjaan dan sementara itu saya memasak menu di rumah jika ada tempahan,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Mohd Ridzuan, 37, berpendapat, kebanyakan daripada mereka sudah mendapatkan kerja yang lebih baik daripada daripada sebelumnya.

“Macam saya sendiri sudah 16 tahun dalam industri dan sudah tidak berminat serta ambil keputusan untuk buka perniagaan sendiri.

“Ketika pandemik, gaji dalam sektor kami antara yang sangat terjejas dan dipotong sehingga 70 peratus ketika itu.

“Jadi ramai daripada kami ini cuba untuk mencari jalan lain untuk terus menyara diri memandangkan kos sara hidup yang tinggi dan hanya segelintir sahaja yang bertahan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!