Mejar Dollah azam bawa pembangunan seimbang di Lendu

A
A
A

Mejar Dollah berkesempatan bertemu masyarakat setempat di kedai-kedai.
Mejar Dollah berkesempatan bertemu masyarakat setempat di kedai-kedai.

Persaingan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang menyaksikan pertembungan dengan nama lebih besar tidak menjadi halangan untuk calon Perikatan Nasional (PN) membawa wadah perjuangannya.

Pengalaman mendekati masyarakat menerusi kerja-kerja kesukarelaan dan kebajikan sewaktu bertugas sebagai anggota tentera menjadi sandaran Mejar (B) Abdullah Mahadi bagi menawan hati masyarakat DUN tersebut.

Namun sebagai muka baharu, itu menjadi cabaran besar kepada pesara tentera yang dikenali dengan nama ‘Mejar Dollah’ ini untuk mendekati rakyat sebagai peluang untuk berkhidmat dan mencurah bakti kepada penduduk di kawaan itu.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nurhidayah Hairom bersama calon PN DUN Lendu ini dalam menterjemahkan agenda perjuangan beliau jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut

SINAR HARIAN: Apakah cabaran yang dilalui sepanjang berkempen dalam suasana norma baharu?

ABDULLAH: Saya kena akui berkempen dalam situasi sebegini pergerakan agak terhad dan ini menjadi kekangan calon muka-muka baharu, inilah cabaran kami. Salah satu caranya saya kena kerap turun atausinggah di kedai-kedai makan, warung dan gerai makan sambil berjumpa orang ramai. Sebagai seorang yang aktif dalam kerja-kerja kesukarelaan di Masjid Tanah, insya-ALLAH ini tidak menjadi masalah untuk saya mendekati dan bergaul dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

Apakah mesej yang mahu dibawakan untuk mendapat mandat kerusi DUN Lendu ini? Adakah isu-isu besar yang memerlukan perhatian?

Sejujurnya, di DUN Lendu ini memang terdapat beberapa isu. Namun saya kena faham DUN ini agak ketinggalan berbanding DUN lain di bawah Masjid Tanah dalam konteks infrastruktur dan ekonomi. Saya tidak boleh salahkan pemimpin dahulu kerana ia ada kaitan dengan faktor demografi yang menjadi antara sebab Lendu agak ketiggalan. Tetapi dari segi konteks perniagaan tempatan, terdapat pasar malam, peruncitan, pasar raya, pertanian dan getah di sini. Saya tidak mahu janjikan sesuatu yang tidak masuk akal, namun saya berjanji akan memberi tumpuan untuk menyelesai atau menambah baik isu-isu masyarakat setempat terutama dalam meningkatkan araf hidup warga Lendu.

Mejar Dollah mengambil kesempatan mendekati masyarakat di DUN Lendu ketika bersolat.
Mejar Dollah mengambil kesempatan mendekati masyarakat di DUN Lendu ketika bersolat.

BN meletakkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Ali yang juga calon Ketua Menteri Melaka BN bagi PRN kali ini, di DUN Lendu. Bagaimana tuan melihat persaingan ini?

Saya menjangkakan persaingan di kawasan ini sengit. Bagaimanapun saya sangat menghormati beliau. Saya anggap ini sebagai satu persaingan yang sihat. Saya menyerahkan kepada para pengundi untuk menilai parti mana yang banyak membantu kebajikan rakyat terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sejak setahun yang lalu.

Apakah sandaran PN dalam memenangi hati pengundi di DUN Lendu?

Saya secara peribadi berpegang kepada konsep bahawa dunia ini adalah tempat beribadat, bukan untuk berehat. Konsep ini saya pegang ketika berkhidmat sebagai anggota tentera. Dengan menghambakan diri kepada ALLAH SWT, saya sedia berkhidmat kepada warga Lendu jika diberi peluang menjadi pemimpin mereka. Apa sahaja pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki termasuk dalam bidang perniagaan dan ekonomi, akan saya gabungkan secara ikhlas. Terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat, apakah yang pengundi mahukan di sini?

Sejujurnya masyarakat tidak berpuas hati dengan pilihan raya negeri (PRN) yang tiba-tiba diadakan secara mengejut ini, lebih-lebih lagi puncanya adalah daripada sengketa sesama pemimpin UMNO. Mereka persoalkan mengapa perlunya satu PRN ketika pandemik masih belum berakhir. Namun kita tidak mahu dedahkan keburukan mana-mana pihak. Saya katakan kepada pengundi mereka boleh suarakan hak masing-masing, siapa yang mereka mahu pilih. Jangan abaikan hak untuk mengundi. Perjuangan saya selari dengan pucuk pimpinan yang menekankan silaturahim, hormat-menghormati, jangan ada politik kotor atau pecah belah. Saya jelaskan juga, isu tentang pembangunan kawasan ini tidak dapat dilaksanakan selagi masalah politik berterusan dan tidak selesai. Alhamdulillah, saya lihat ramai yang buka mata apabila perkara ini saya jelaskan.

Apa pendekatan yang diambil terhadap pengundi muda di kawasan ini?

Anak-anak muda termasuk di DUN Lendu adalah aset masa depan. Mereka memerlukan ruang yang lebih besar untuk meningkatkan keupayaan dan mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang. Satu kajian terperinci yang menyeluruh akan dibuat di DUN ini untuk melihat bagaimana cara menyediakan peluang-peluang itu. Saya juga mahu perkasakan penglibatan golongan muda dalam masyarakat sebagai satu bentuk pendedahan terbaik bagi melahirkan generasi pemimpin yang lebih matang. Saya rancang untuk sediakan pelbagai program yang boleh menarik minat mereka.

Apakah agenda terbesar yang mahu dibawakan untuk rakyat di sini?

Saya mahu pastikan masyarakat Lendu dapat menjalani kehidupan yang lebih seimbang bukan hanya dari segi pembangunan infrastruktur, tetapi termasuk jati diri dan kerohanian. Saya percaya ia akan mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dan masyarakat akan lebih bersatu untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran. Ini seterusnya bakal menjamin kesejahteraan rakyat negeri Melaka.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Mejar (B) Abdullah Mahadi

Umur: 51 Tahun

Asal: Kg. Tanah Merah Baru Di Mukim Sg Baru Ulu Dun Lendu.

Pendidikan:

- Sarjana Pengurusan dari Universiti Malaya.

- Diploma Lanjutan Strategik dan Pertahanan Universiti Malaya & Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Diploma Sains Komputer (IT).

Jawatan:

- Pengerusi Kelab Sukarelawan Masjid Tanah (SMART)

- Penyelaras Bersatu DUN Lendu

- Ketua Bersatu Cawangan

- Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!