Van Dijk berang aksi buruk Belanda
KAPTEN Belanda, Virgil Van Dijk menyifatkan pasukannya bermain sangat teruk selepas sekadar seri 2-2 menentang Montenegro di Podgorica City Stadium awal pagi tadi seterusnya mensia-siakan peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 lebih awal.
Belanda pada awalnya dilihat berada di landasan sebenar untuk layak ke Piala Dunia Qatar tahun hadapan apabila Memphis Depay meletakkan skuad Oranje selesa di hadapan dengan meledak dua gol.
Namun dua gol lewat Montenegro yang dijaringkan Ilija Vukoticdan dan Nikola Vujnovic berjaya mengikat anak buah Louis Van Gall.
"Cara kami bermain pada babak kedua sangat teruk.
"Kami sentiasa mahukan bola, kami sentiasa mahu bermain bola sepak, menyerang dan menjaringkan gol. Tapi bola sepak juga ialah bagaimana untuk bertahan.
"Itulah yang kami tidak lakukan malam ini. Organisasi kami memang teruk. Kami sepatutnya boleh layak di sini," kata Van Dijk.
Meskipun seri, Belanda masih mendahului kumpulan G dibezakan dua mata dengan Turki yang meledak enam gol mengatasi Gibraltar.
Belanda akan bertemu Norway di Rotterdam awal pagi Rabu depan manakala Turki akan menentang Montenegro.
"Kini kami akan bertemu Norway di stadium yang kosong. Kami perlu mempamer aksi lebih baik berbanding hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!