Kejadian kepala air: Wanita mengandung, lima bayi antara terperangkap
KUALA KRAI - Seorang wanita mengandung dan lima bayi antara 51 mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air di kawasan perkelahan dekat Pondok Sungai Kenerong di sini pada Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dabong, Pegawai Bomba Kanan II Azwan Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
"Setibanya di lokasi, anggota mendapati fenomena kepala air sedang berlaku dan ada mangsa yang terperangkap.
"Anggota kemudian diarahkan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) Covid-19 sebelum memulakan operasi menyelamat.
"Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat menggunakan sebuah bot aluminium dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 7.40 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!