Tiada niat perli sesiapa: Maguire

Maguire meraikan jaringannya ketika menewaskan Albania 5-0
Maguire meraikan jaringannya ketika menewaskan Albania 5-0
A
A
A

PERTAHANAN England, Harry Maguire menafikan dakwaan sambutan gol yang dilakukan ketika England membelasah Albania 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2022 semalam ditujukan kepada seseorang.

Pemain berusia 28 tahun itu dikritik hebat kerana tindakannya menutup telinga ketika meraikan gol pembukaan Three Lions yang disifatkan seperti isyarat ‘diam’.

Sambutan tersebut juga mendapat perhatian Legenda Manchester United, Roy Keane yang menyifatkan tindakan Maguire sebagai ‘memalukan’, manakala bekas penyerang England, Ian Wright menasihati pemain itu supaya tumpukan sahaja kepada permainan.

"Tidak, sambutan itu tidak ditujukan kepada sesiapa. Kelihatan seperti saya meletakkan tangan di telinga, tetapi tidak.

“Saya kapten Manchester United, sudah tentu saya akan mendapat kritikan apabila pasukan tidak bermain dengan baik.

“Saya sudah menjangkakan perkara itu tetapi sudah tentu ia tidak ditujukan kepada sesiapa pun,” kata Maguire.

Pada Sabtu, England berjaya mencatatkan Kemenangan besar di Wembley apabila membelasah Albania 5-0 sekali gus meletakkan England sebelah kaki ke Piala Dunia di Qatar tahun depan.

Pada perlawanan itu, Maguire menanduk gol pembukaan England seawal minit kesembilan, manakala ketua pasukan, Harry Kane meledak hatrik pada minit ke-18, 33 dan 45.

Artikel Berkaitan:

Turut mencetak nama sebagai penjaring ialah penolong kapten, Jordan Henderson.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, England masih belum kalah dan melakar tujuh kemenangan untuk mengungguli Kumpulan I menerusi 23 mata, tiga mata mengatasi Poland yang membelasah Andorra 4-1 dalam satu lagi perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!