Tiada istilah bekerja dari rumah buat 'sang saka merah'
MIRI - Kita sering mendengar ungkapan ‘rumah terbakar panggil bomba’, namun bebanan sebenar yang dipikul Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu ternyata lebih besar daripada apa yang dapat dibayangkan.
Daripada sekecil-kecil kecemasan seperti cincin tersangkut pada jari, sehinggalah sebesar-besar kecelakaan seperti lemas, kemalangan jalan raya atau kebakaran hutan yang luas, pasukan ‘sang saka merah’ itu jugalah yang dicari.
Jasa dan pengorbanan pasukan berceloreng merah itu dalam menjalankan tugas sewaktu pandemik Covid-19 sukar untuk dinafikan, seperti kata-kata Ketua JBPM (Sarawak) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I, Law Poh Kiong: “Tiada istilah ‘bekerja dari rumah’ untuk anggota bomba dan semua agensi barisan hadapan lain dalam waktu pandemik ini”.
Berkongsi pengalaman yang dilalui beliau dan pasukannya dalam melaksanakan tugasan sewaktu pandemik Covid-19 hingga ke saat ini, Poh Kiong berkata, mengambil kira bentuk muka bumi di Bahagian Miri unik dan memerlukan pelbagai kaedah untuk menangani segala masalah atau kes yang dihadapi.
“Pihak bomba telah menggunakan ketiga-tiga mod pengangkutan yang ada - darat, air dan udara - untuk sampai ke kawasan terutamanya di kawasan pedalaman yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan kami,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif bersama Bernama di sini, baru-baru ini.
Bentuk muka bumi di Sarawak khususnya di Miri yang berceranggah dalam kawasan yang luas, membataskan kemasukan pengangkutan darat ke kawasan pedalaman selain landskap merangkumi tanah paya di pinggir laut, deretan sungai dan banjaran gunung yang tinggi serta diliputi hutan hujan tebal.
Poh Kiong berkata, apabila kes positif Covid-19 mula dikesan di Sarawak, perkara yang paling merisaukannya adalah seandainya terdapat jangkitan tempatan berlaku di kawasan pedalaman yang umum mengetahui kesalinghubungan untuk ke kawasan berkenaan amatlah rumit.
“Ada kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan menggunakan bot kerana belum mempunyai jalan raya. Biasanya penempatan di tepian sungai ini mempunyai ramai penduduk terutamanya penduduk di rumah panjang.
“Contohnya, perjalanan menggunakan bot dari Miri ke pedalaman Marudi mengambil masa empat hingga enam jam manakala paling jauh ke kawasan pedalaman di Mulu memakan masa hingga 10 jam mengikut arus sungai,” katanya.
Beliau berkata, keadaan sungai di Sarawak ini juga semakin ke hulu, semakin cetek airnya dan semakin sukar untuk memasuki kawasan berkenaan.
Bagi Poh Kiong, tugas bomba menjadi lebih sukar apabila terdapat mangsa positif Covid-19 di kawasan pedalaman yang memerlukan pihaknya untuk membawa keluar mangsa dalam kadar segera.
“Proses mengeluarkan mangsa positif Covid-19 dari kawasan hulu amat sukar. Kenderaan nak pergi pun susah, hanya berharap kenderaan pacuan empat roda bomba melalui ‘jalan balak’ dan tidak diaktifkan penyaman udara (bagi mematuhi prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan atau KKM),” katanya.
Tugas itu tidak terhad di situ sahaja apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan dan JBPM terlibat secara langsung dalam mengatur logistik untuk penghantaran bekalan vaksin ke kawasan pedalaman.
“Penghantaran vaksin Covid-19 menggunakan laluan udara juga digunakan untuk ke kawasan pedalaman yang sukar dilalui laluan darat tetapi kawasan yang hendak dituju itu mestilah mempunyai dataran yang sesuai untuk helikopter mendarat,” katanya.
Bagi pengoperasian Pangkalan Udara Wilayah Sarawak (PUWS) JBPM, ketika ini terdapat dua buah helikopter - Agusta 139 dan MI 171- yang sedia untuk diatur gerak apabila diperlukan.
Menurut Poh Kiong, hampir 200 penerbangan telah dilakukan PUWS yang melibatkan penghantaran kira-kira 100,000 dos vaksin ke penempatan pedalaman antaranya Long Naah, Long Pillah, Long Teran, Long Bemang dan Long Teru dengan kerjasama KKM serta agensi-agensi lain.
Perit jerih yang dilalui anggota bomba dan semua pasukan barisan hadapan lain wajar diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang setimpal, setidak-tidaknya sanjungan ikhlas masyarakat terhadap pengorbanan masa, kudrat dan usaha mereka demi kelangsungan hidup rakyat di Bumi Kenyalang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!