PM sampai surat tawaran lanjut pelajaran kepada anak Mohd Diya
MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad menyampaikan surat tawaran melanjutkan pelajaran kepada anak pegawai bomba yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh, Oktober lepas.
Surat tawaran itu diserahkan Perdana Menteri kepada Muhammad Daniel Hakime, 18, yang merupakan anak sulung Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di sini pada Ahad.
Balu Allahyarham Noraida Che Noh, 39, ketika ditemui pemberita berkata, beliau bersyukur kerana hasrat anak sulungnya itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang automatif di Kolej Komuniti Bukit Beruang, tercapai.
“Syukur kepada ALLAH kerana Perdana Menteri sendiri turun padang sampaikan surat kemasukan itu. Syukur sangat-sangat kepada ALLAH dengan prihatinnya Perdana Menteri kita terhadap rakyatnya dan memang terharu sangat-sangat.
“Saya juga ucap terima kasih kepada pihak Kolej Komuniti kerana memberi peluang untuk anak saya menyambung belajar di sana, ini juga impian arwah sebab dia kata abang long masuklah bidang yang abang long minat,” katanya dalam nada yang sebak.
Beliau berkata, Muhammad Daniel Hakime yang akan memasuki kolej berkenaan pada tahun hadapan diharap memanfaatkan peluang berkenaan, dengan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih terbela.
Sementara itu, Muhammad Daniel Hakime berkata, beliau berasa gembira dengan tawaran berkenaan, memandangkan ia merupakan bidang yang amat diminatinya.
“Seronok itu tak dapat dibayangkan, sebab tak pernah dapat dan rasa macam ini. Harapan saya, saya nak banggakan mak dan arwah ayah saya,” katanya.
Pada 20 Oktober lepas, Mohd Diya, 46, rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras, ketika terlibat dalam operasi menyelamat di Kampung Sungai Putat di sini.
Mohd Diya disahkan meninggal dunia pada jam 3.11 pagi keesokan harinya ketika mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!