MAFI sedia tabung bencana berdepan musim tengkujuh
PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengadakan mesyuarat awal melibatkan persiapan bantuan banjir kepada petani melalui tabung bencana agensi itu jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini pada musim tengkujuh kali ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tiada peruntukan khusus untuk tabung berkenaan dan ia juga tidak terhad kepada jumlah-jumlah tertentu.
"MAFI memang ada jadual tahunan melibatkan perkara seperti ini dan untuk musim tengkujuh kali ini, kita telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat jika berlakunya banjir dan sebagainya.
"Kami telah bersiap sedia termasuklah juga dengan kerajaan negeri dan jabatan lain kerana mereka juga ada tabung," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Beliau sebelum itu menghadiri Program MAFI Prihatin Jabatan Pertanian Kelantan di pejabat Pertanian Pasir Puteh, di sini.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, antara kawasan yang dikenal pasti mungkin terlibat dengan banjir adalah negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Bagaimanapun, menurut Nik Muhammad Zawawi, pihaknya juga sentiasa bersedia secara umum melibatkan negeri-negeri lain yang mungkin berlakunya bencana di luar jangkaan seperti di Yan, Kedah baru-baru ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM5.6 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan melibatkan 17 projek pembangunan di seluruh negeri tahun ini.
Katanya, pemberian insentif projek pembangunan ini diharapkan dapat melaksanakan projek pertanian dengan sebaik mungkin melalui bimbingan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian.
"Antara projek utama yang memberi manfaat kepada penduduk adalah melalui Program Kebuniti. Program ini memberi manfaat kepada enam komuniti khususnya golongan B40," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!