PH sedia hadapi PRN Johor
MELAKA – [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) bersedia sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan susulan situasi cabar mencabar antara pemimpin veteran UMNO dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan PH itu bagaimanapun berlandaskan bentuk persaingan yang lebih harmoni.
“Kita bersedia (untuk PRN Johor) seperti kita bersedia di sini (PRN Melaka).
“Tapi soalnya kita tak panggil orang jahat atau bodoh. Kita lawan dengan cara baik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PH bersedia sekiranya berlaku PRN Johor susulan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, Bersatu boleh menekan ‘button’ serta merta yang akan mengakibatkan kerajaan Johor jatuh.
Reaksi berkenaan dilontarkan terhadap veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad yang dilaporkan mencabar Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Abdullah.
“Jangan cabar saya, saya pemimpin Bersatu, PN. Nasib rakyat adalah yang utama. Shahril tidak fikir. Dia nak mencabar saya, saya boleh buat. Sekarang pun saya boleh tekan button, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku?
Namun, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, adalah tidak wajar untuk mengheret rakyat Johor menerima nasib sama seperti rakyat Melaka selepas apa yang dilakukan bekas pemimpin UMNO di negeri itu.
Dalam pada itu, ditanya adakah persengketaan politik antara dua parti kerajaan itu bakal memberi kelebihan kepada PH dalam mana-mana pilihan raya kelak, beliau bagaimanapun menyifatkan PH tidak menjadikan perkara itu sebagai taruhan meraih sokongan.
“Kita tidak hanya mengambil kesempatan daripada kelemahan atau pertarungan kawan. Kita menawarkan khidmat dan agenda kita sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!