Dua sindiket edar, seludup dadah tumpas

Ayob Khan ( tengah) menunjukkan dadah yang dirampas menerusi dua operasi di Johor Bahru dan Kota Tinggi pada Selasa dan Rabu lalu.
Ayob Khan ( tengah) menunjukkan dadah yang dirampas menerusi dua operasi di Johor Bahru dan Kota Tinggi pada Selasa dan Rabu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya melumpuhkan dua sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini serta merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam dua serbuan di Kota Tinggi dan daerah ini pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi itu, seramai lima individu berusia 23 hingga 59 tahun disyaki dalang sindiket termasuk seorang warga Indonesia dan sepasang suami isteri ditahan.

Katanya, pada Selasa lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor melakukan operasi di Kota Tinggi bermula jam 1.50 petang hingga 3 petang sebelum menahan sebuah kereta di kawasan kedai makan dan menemukan ganja seberat 14.55 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM36,392.

"Seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 39 hingga 49 tahun dipercayai dalang sindiket ditahan. Sindiket yang beroperasi sejak Julai ini, menggunakan jalan laut untuk menyeludup dadah ke negara jiran.

"Polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan, sebuah motosikal, wang tunai bernilai RM564 dan wang tunai Singapura berjumlah RM837. Seorang suspek didapati positif dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu bermula Rabu lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.

Sementara itu pada Rabu, seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun ditahan bersama sejumlah dadah jenis ekstasi dan ketamin hasil daripada operasi yang dijalankan di sekitar Johor Bahru bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Ayob Khan berkata, susulan daripada penahanan itu, satu lagi serbuan dilakukan dan berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 59 dan 53 tahun yang menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor pembungkusan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Dadah jenis ekstasi, ketamin, eramin 5, yang dibungkus untuk kegiatan 'private party' dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru. Sindiket telah beroperasi sejak Ogos lalu.

"Rampasan dadah terdiri daripada 21.18 kg serbuk ekstasi 78.60 gram ketamin, 1.80 gram syabu, 90 biji pil ekstasi dan 170 biji pil eramin dianggarkan bernilai RM1.07 juta. Polis juga menyita sebuah kereta mewah dan wang tunai berjumlah RM3,495.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek yang ditahan dalam operasi kedua ini, hanya seorang didapati positif dadah. Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula Rabu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!