Maritim tahan dua kapal berlabuh tanpa kebenaran
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan dua kapal yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, pada Sabtu.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan pada kedudukan 11.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang dan 8.3 batu nautika timur Tanjung Balau antara jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang.
"Kapal pertama merupakan sebuah kapal tangki berdaftar dari Panama dikendalikan lima kru warga Indonesia dan Myanmar berumur antara 20 hingga 38 tahun.
"Kapal kedua pula merupakan kapal kargo berdaftar dari Cyprus, dikendalikan 20 kru warga Filipina dan Ukraine berumur antara 21 tahun hingga 49 tahun. Kesemua kru kedua-dua kapal mempunyai pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dilakukan.
"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Nurul Hizam, kapal serta kru ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!