Pas kekal bantah arak Timah
IPOH - Pas kekal dengan pendirian membantah pengeluaran arak jenama Timah meskipun Kabinet bersetuju membenarkan syarikat itu mengekalkan nama tersebut.
Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, pendirian parti itu adalah jelas dan konsisten berkaitan minuman keras walau apa jenama sekali pun.
"Dalam hal ini, pendirian Pas dalam bab arak adalah jelas, tidak setuju dalam apa jua nama tidak kira Timah, Dollah atau Wahab.
"Tiada dalam kalangan pimpinan parti yang menyokong isu arak Timah ini. Pendirian kami jelas," katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Seri Aman, Menglembu di sini pada Ahad.
Sinar Harian melaporkan Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, iaitu Timah untuk mengekalkan namanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, pengeluar Timah iaitu Winepark Corporation (M) Sdn Bhd (Winepark) perlu menyertakan label tambahan pada botol wiski berkenaan.
Penggunaan nama Timah pada jenama wiski itu menjadi perdebatan hangat sebelum ini dan ada yang mengaitkannya dengan nama wanita.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga meminta pihak yang menjaga urusan agama Islam sepatutnya tidak mengizinkan sebarang penyalahgunaan nama yang cuba mengelirukan penganut agama Islam oleh mana-mana pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!