UniMAP sedia kerjasama bangunkan kereta terbang

No Image Caption
A
A
A

ARAU - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan pelbagai agensi dalam usaha membangun kereta terbang di negara ini berdasarkan kepakaran sedia ada yang dimiliki universiti itu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kereta terbang atau ‘aeromobile’ bukanlah sesuatu yang mustahil direalisasikan di Malaysia. Ia boleh menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat dengan perkembangan teknologi yang kian pesat pada abad ini.

“Kereta terbang antara lainnya hampir menyamai fungsi dron. Ianya mampu dibangunkan dan memerlukan peruntukan serta bajet yang tinggi memandangkan ia melibatkan penggunaan teknologi sistem tanpa pemandu (UAS) yang terkini,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Zul Azhar berkata melalui Pusat Kecemerlangan Sistem Tanpa Pemandu (COEUAS) yang diterajui oleh Prof Dr Hazry Desa sememangnya adalah hab penyelidikan yang memberi fokus kepada teknologi UAS.

“UniMAP bersedia memberikan kepakaran untuk idea ini dan bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam aspek perpindahan teknologi secara bersepadu dan jika ia mampu direalisasikan pasti kita mampu untuk melihat kewujudan kereta terbang di negara ini sekali gus menjadi kebanggaan buat negara,” kata Zul Azhar.

Beliau mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan membangunkan kereta terbang untuk kegunaan industri seperti pertanian dan pengangkutan awam yang diumumkan oleh Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Menurut Zul Azhar, dalam merealisasikan hasrat tersebut kerajaan perlu menyediakan peruntukan dalam bentuk dana kewangan yang mencukupi dan membuka peluang dan ruang kepada rakyat di negara ini untuk turut menyumbang idea.

Katanya usaha giat perlu dikemukakan secara berfasa dan semua pihak harus menyokong inovasi dan penciptaan warga tempatan dalam bidang UAS kerana dengan kepakaran dan perkembangan teknologi yang dimiliki, tidak mustahil Malaysia mencapai kejayaan lebih tinggi termasuk membangunkan kereta terbang.

Artikel Berkaitan:

Pasukan penyelidik COEUAS UniMAP baru-baru ini memenangi tempat ketiga Pertandingan Parcel Dron peringkat kebangsaan anjuran Pos Malaysia Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!