RM40 juta bantu kos operasi sekolah pengajian agama
IPOH - Kerajaan bersetuju agar baki RM40 juta daripada RM100 juta yang disalurkan untuk penyelenggaraan sekolah tahfiz atau sekolah pondok ditukar kepada bantuan pengoperasian institusi pengajian agama itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu dipersetujui hasil perbincangan yang diadakan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, bantuan itu turut diberikan kepada sekolah-sekolah yang tidak mendaftar sebagai satu galakkan.
"Sepatutnya RM40 juta tu adalah wang yang digunakan untuk prasarana dan infrastruktur. Oleh kerana perundingan saya dengan pihak menteri kewangan maka ditukar kepada kos operasi.
"Jadi boleh kita beri sedikit sebanyak termasuk kepada maahad tahfiz yang tidak berdaftar, kita cuba bagi dengan harapan mereka berdaftar nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Seri Aman, Menglembu di sini pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kewangan telah menyalurkan RM100 juta pada tahun ini bagi penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian.
Idris berkata, tidak timbul isu penutupan sekolah-sekolah tahfiz kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penutupan.
"Tutup itu bukan soal diarahkan tutup kerana semua sekolah berbuat demikian ketika berlaku pandemik Covid-19.
"Sekolah-sekolah ini akan beroperasi macam biasa. Perkara ini terutama prosedur operasi standard (SOP) bergantung kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Kita tidak boleh pandai-pandai," katanya.
Katanya, tiada juga isu maahad tahfiz atau pondok tidak dapat membayar gaji kakitangan kerana kebanyakan mereka tidak bergantung kepada kerajaan.
END
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!