Pemilik, pengunjung pusat hiburan dikompaun RM265,000

Operasi dijalankan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur di sebuah premis hiburan di ibu kota pada Sabtu.
Operasi dijalankan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur di sebuah premis hiburan di ibu kota pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik serta 48 pengunjung sebuah pusat hiburan dikompaun sebanyak RM265,000 menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur di ibu kota pada Sabtu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK KL, Datuk Azman Ayob berkata, operasi dijalankan seramai 14 pegawai dan anggota polis.

"Hasil serbuan yang dijalankan mendapati premis tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat bagi Kuala Lumpur.

"Kompaun bernilai RM25,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis, manakala sebanyak 48 pengunjung telah dikenakan kompaun bernilai RM 5,000 setiap individu dan menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan bernilai RM265,000," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, dalam serbuan yang sama, seramai 49 orang pengunjung telah disaring ujian air kencing.

"Hasil saringan mendapati seramai 13 individu didapati positif di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Operasi seperti ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi membendung penularan Wabak Covid-19 dalam kalangan warga Kuala Lumpur khususnya dan membantu usaha kerajaan menghentikan penularan Covid-19 dalam negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!