Duterte ‘lawan’ anak sendiri?

Duterte (kiri) bakal membuat kejutan seperti anaknya, Sara. - Foto Agensi
Duterte (kiri) bakal membuat kejutan seperti anaknya, Sara. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Drama politik di Filipina semakin ‘panas’ apabila Presiden Rodrigo Duterte dijangka bersaing dengan anaknya sendiri untuk merebut jawatan Naib Presiden pada pilihan raya Mei 2022 walaupun pemimpin tersebut mengumumkan mahu bersara daripada dunia politik pada bulan lalu.

Sara Duterte-Carpio, 43, pada Sabtu mendaftarkan pencalonannya bagi menggantikan calon asal di bawah Parti Lakas-Kristian Muslim Demokrat (Lakas-CMD), beberapa hari selepas beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Datuk Bandar di Davao City.

Keputusan mengejut itu bakal membuka peluang besar kepada calon Presiden, Ferdinand Marcos Jr untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara tersebut.

Anak kepada bekas pemimpin diktator, Ferdinand Marcos itu dilaporkan telah mempelawa Sara untuk menjadi pasangan regu beliau pada pemilihan tersebut yang dijangka sengit.

Susulan pengumuman itu, Duterte, 76, yang dilarang bertanding semula untuk penggal kedua secara tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk bertanding setelah pembantu rapatnya, Senator Christopher ‘Bong’ Go yang pada mulanya mendaftar sebagai calon Naib Presiden mengubah pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden menjelang saat akhir.

Setiausaha Komunikasi beliau, Martin Andanar turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu Duterte dijangka mendaftarkan pencalonan untuk merebut Naib Presiden pada Isnin.

“Ini adalah rancangan beliau sekarang. Kita tidak tahu jika beliau mungkin berubah fikiran,” ujarnya.

Sara sebelum ini juga berulang kali menegaskan beliau enggan bertanding jawatan tertinggi dan hanya mahu meneruskan khidmatnya sebagai Datuk Bandar Davao City yang juga pernah disandang bapanya.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai spekulasi mula timbul setelah beliau kini menyertai parti Lakas-CMD pimpinan sekutu rapatnya, bekas Presiden, Gloria Arroyo.

Keputusan kaji selidik menunjukkan gabungan Marcos Jr dan Sara mendapat sokongan yang tinggi berikutan prestasi mereka amat baik setakat ini.

“Marcos Jr adalah calon yang kuat. Drama pilihan raya ini masih belum berakhir,” kata Profesor Undang-undang dan Politik di Ateneo de Manila University, Dr Antonio La Vina. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!