PRN Melaka: PN umum ikrar enam teras tunjang utama
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) mengumumkan ikrar yang juga merupakan manifesto gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berteraskan kepada enam tunjang utama yang turut dipacu oleh 11 strategi dan 74 pendekatan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ikrar dengan moto Melaka Bangkit Gemilang itu akan diterajui oleh calon pemimpin PN yang dipilih oleh pakatan tersebut.
Menurut berkata, enam tunjang utama ikrar tersebut adalah keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrasturuktur dan keteguhan serta kejujuran pentadbiran.
“Ikrar yang ditawarkan ini bukan omongan kosong mahupun janji bulan, bintang dan matahari.
“Ikrar ini bagi saya adalah satu komitmen bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk adalah berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka bangkit gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka yang disiarkan secara langsung di Facebook miliknya pada Ahad.
Muhyiddin memberitahu, bagi memastikan tawaran ikrar tersebut dapat dipenuhi, PN akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas pemantau pelaksanaan ikrar berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh anak jati Melaka terdiri daripada golongan profesional dan mereka yang berpengalaman.
“Ini adalah manifestasi kesungguhan PN untuk memastikan ikrar yang dibuat untuk rakyat di negeri Melaka ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus,” ujar beliau.
Memperincikan mengenai tunjang keprihatinan kepada rakyat, Muhyiddin berkata, antara usaha akan dilakukan adalah mewujudkan Hab Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bantuan penyelenggaraan sekolah tahfiz dan bantuan one-off kepada guru tahfiz, kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta tadika di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Beliau berkata, menyedari tempoh sukar yang dihadapi, PN juga akan memperuntukkan perbelanjaan menyambut kelahiran anak melalui bantuan sekali RM200 kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021.
“Selain itu, Dewan Undangan Negeri Belia Melaka akan diwujudkan bagi membina dan menggilap generasi pemimpin masa depan dari kalangan anak muda jati Melaka,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, melalui tunjang keteguhan dan kejujuran pentadbiran, PN akan melaksanakan agenda memperkasa perkhidmatan awam negeri melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus dengan rakyat.
Jelas beliau, pemerkasaan itu turut melibatkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri.
“Saya percaya rakyat negeri Melaka telah berasa amat terkilan dengan laporan media mengenai pelbagai dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri Melaka oleh pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.
“PRN Melaka adalah peluang untuk rakyat di negeri Melaka memperbetulkan keadaan ini. Rakyat di negeri Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!