Pemerkasaan komuniti penting dalam peralihan pandemik kepada endemik
MELAKA - Pemerkasaan komuniti dari aspek kawalan kendiri terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan Covid-19 merupakan perkara penting dalam suasana peralihan negara daripada fasa pandemik kepada endemik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau menjelaskan, berikutan kekurangan anggota penguatkuasaan bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan rakyat, pemerkasaan komuniti yang selaras dengan konsep Keluarga Malaysia merupakan satu kaedah yang dapat membantu.
“Kita merasakan pemerkasaan komuniti ini adalah satu kaedah, lalu kita menghidupkan semula apa yang kita panggil komuniti Keluarga Malaysia,” katanya dalam temu bual bersama stesen radio Melakafm pada Ahad.
Annuar berkata, bagi menjayakan konsep Keluarga Malaysia, semua pegawai penerangan yang berada di akar umbi perlu mewujudkan rangkaian bersama pemimpin tempatan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi.
“Ia membentuk apa yang kita panggil rangkaian jaringan Keluarga Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, selain itu, bagi mendukung aspirasi nasional Keluarga Malaysia, beberapa program seperti peranti Keluarga Malaysia dan pakej remaja Keluarga Malaysia telah dilancarkan bagi kemudahan rakyat.
“Program peranti Keluarga Malaysia adalah untuk memberikan peranti atau gajet dengan harga yang murah dan mampu kepada rakyat terutama sekali kita sedang membuat ‘roll out’ program 4G supaya mereka yang guna telefon 3G misalnya dapat berhijrah dan memiliki gajet 4G dengan harga yang paling murah.
“Kita juga melancarkan pakej remaja Keluarga Malaysia dan anak-anak muda terutama murid sekolah dapat memiliki atau membeli data pada harga RM10 sebulan untuk mereka mendapat sejumlah megabait data yang mereka boleh guna untuk tujuan produktiviti, pembelajaran dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, Annuar menjelaskan apa yang penting dalam konsep Keluarga Malaysia ialah sifat keprihatinan dapat dihayati dan diamalkan oleh rakyat keseluruhan.
Keluarga Malaysia dilancarkan di Sarawak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Oktober lepas iaitu semangat yang diterapkan oleh kerajaan dalam pentadbiran negara dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!