Tempahan hampir penuh hingga Disember
KUALA NERANG - Pengusaha rumah bot Seri Mahawangsa di Tasik Pedu menarik nafas lega apabila tempahan untuk mengadakan pelbagai aktiviti hampir penuh sehingga Disember ini.
Pemilik rumah bot Seri Mahawangsa, Amir Wahab berkata, kebenaran merentas negeri yang diberikan oleh kerajaan pada 11 Oktober lalu kembali menghidupkan Tasik Pedu yang suram hampir dua tahun sebelum ini.
Menurutnya, pelancong dari Kedah mahupun luar bagaikan 'melepaskan geram' untuk mendaftar masuk ke rumah botnya namun masih perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak bergejala selain lengkap vaksinasi Covid-19.
"Apabila kerajaan mengumumkan 1 Oktober lalu sudah boleh melancong, kami terus buka dan syukur sambutan memang mengalakkan.
"Kami boleh nampak seperti fenomena untuk aktiviti luar daripada pelancong tempatan dan juga luar dari negeri Kedah sebaik tiba di rumah bot kami," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah botnya di Tasik Pedu, dekat sini.
Amir berkata, rumah bot Seri Mahawangsa yang merupakan satu-satu rumah bot di Tasik Pedu boleh menampung sehingga 50 orang dalam satu-satu masa berdasarkan SOP ditetapkan.
Menurutnya, antara pihak yang menempah untuk mengadakan aktiviti di rumah botnya adalah terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan juga persendirian yang datang bersama keluarga masing-masing.
"Antara keistimewaan di sini adalah kami menyediakan juadah makanan yang lauk-pauknya terdiri daripada ikan air tawar dan dimasak di atas rumah bot ini oleh tukang masak berpengalaman.
"Antara juadah yang menjadi tumpuan adalah ikan baung masak lemak cili api, ikan pekasam tasik, ikan haruan asam pedas dan beberapa jenis ikan tasik lagi," katanya.
Tambah Amir, tarikan terbaru di sekitar kawasan tersebut adalah ikan toman yang menjadi buruan pemancing-pemancing tegar dan mendapatkan khidmat bot pihaknya untuk ke lokasi tersebut.
Menurutnya, kehadiran pelancong-pelancong ini juga secara tidak langsung dapat menambah pendapatan pemilik-pemilik bot di Tasik Pedu
"Jika bot yang disediakan oleh kami penuh, saya akan menghubungi pengusaha-pengusaha bot lain untuk menggunakan khidmat mereka dan secara tidak langsung dapat menambah pendapatan mereka juga," ujarnya.
Tambahnya, mereka yang menginap di rumah bot tersebut juga boleh menyewa bot untuk pelbagai aktiviti lain seperti melihat spesis burung di sekitar tasik tersebut dan melihat kawasan sekitar secara berkumpulan.
"Di sini semua kemudahan ada untuk aktiviti 'team building' juga seperti surau, tempat aktiviti, tempat makanan, ruangan barbeku dan rakit buluh.
"Aktiviti lain yang turut ada adalah 'surfing board', 'apache boat', spa ikan, karaoke dan sistem alatan bunyi. Jika ada yang berminat kami minta hubungi awal dulu untuk tempahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!