LGBT: Muslimat Pas Johor bantah
KLUANG - Dewan Muslimat Pas Johor menyelar tindakan penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berarak secara haram di Kuala Lumpur, semalam, kerana jelas menyentuh sensitiviti kaum wanita di Malaysia khususnya bagi umat Islam.
Ketua Penerangannya, Normala Sudirman berkata, beliau juga ingin mengingatkan bahawa di dalam al-Quran iaitu surah Al-A'raf ayat 80 hingga 81, ALLAH SWT telah secara jelas melaknat, mencegah serta melarang amalan budaya songsang LGBT ini daripada diamalkan.
"Tindakan mempromosi dan mempertahankan hak LGBT ini dilihat sebagai mencabar perintah Allah SWT.
"Kejadian ini disifatkan sungguh memalukan serta merendahkan martabat wanita di Malaysia dan mencemarkan imej sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia kelmarin (semalam).
"Laungan 'Hidup Wanita, Hidup LGBT' dan 'Hentikan Stereotaip dan Prejudis' serta perjuangan kesaksamaan gender jelas bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia kerana ia hanya berasal dari gerakan-gerakan di Barat dan Eropah yang bercanggah dengan tatasusila serta adat ketimuran di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Normala yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Malaysia berkata, tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Sisters In Islam (SIS) juga adalah tindakan yang dianggap seolah-olah mengiktiraf kewujudan budaya songsang ini di Malaysia.
Katanya, SIS adalah pertubuhan yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan ini jelas membuktikan perjuangan mereka bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keharmonian dalam usaha untuk mengangkat martabat wanita.
"Jadi, Muslimat Pas Johor tegas menyatakan bantahan terhadap perhimpunan dan segala tuntutan golongan liberal seperti SIS dan Women Aid Organization adalah hanya untuk menyemai idea liberal dan feminisme di Malaysia dan tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.
"Kaum wanita di Malaysia diseru agar tidak mengikuti ajaran songsang ini dan diharap agar terus membantah dan mencegah perbuatan songsang yang tidak mendatangkan manfaat kepada kaum wanita sebaliknya konsisten dan menyokong apa juga usaha untuk menyelamatkan serta memperjuangkan hak semua wanita dengan adil," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 1,000 orang hadir dalam perhimpunan dan perarakan tersebut yang bermula dari pusat beli belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.
Selain slogan pro-LGBT, peserta turut melaungkan desakan supaya menghentikan perkahwinan kanak-kanak serta menuntut penghapusan diskriminasi jantina, menamatkan keganasan terhadap wanita dan memperkukuh hak wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!