Boleh peluk cium apabila keadaan kembali reda

 Budaya peluk cium yang masih dilakukan masyarakat ketika berkumpul dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada kes Covid-19 sejak kebelakangan ini. Gambar hiasan 123rf.
Budaya peluk cium yang masih dilakukan masyarakat ketika berkumpul dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada kes Covid-19 sejak kebelakangan ini. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

SETELAH menikmati segala kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), majoriti rakyat Malaysia mengharapkan jangkitan Covid-19 makin berkurang.

Jika ditanya sudah pasti semuanya daripada kita tidak sanggup untuk berdepan dengan tempoh sekatan yang menyebabkan pelbagai rutin hidup tergendala dan memberikan kesan besar kepada banyak perkara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri pada Sabtu turut mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran PPN yang dinikmati kini boleh hilang sekali lagi jika rakyat berterusan lalai.

Antara sikap yang tergolong dalam kategori lalai ialah berasa selesa dengan kelonggaran diberikan dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) hingga mencetuskan kluster jangkitan baharu.

Walaupun ada orang yang menganggap sesuatu perbuatan itu remeh ataupun tidak memberi kesan besar, ia sebenarnya boleh menimbulkan masalah sekiranya dibiarkan berterusan.

Seperti disiarkan akhbar ini, budaya peluk cium yang masih dilakukan masyarakat ketika berkumpul dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurut kenyataan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, budaya itu yang diamalkan ketika ini menyebabkan berlaku kluster jangkitan.

Katanya, perkumpulan itu berlaku dalam majlis sosial termasuk di kampung kerana ramai masyarakat bandar pulang ke kampung halaman selepas aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, situasi itu berlaku kerana orang ramai sudah mula leka selepas kerajaan memberi kebebasan pergerakan dan ramai yang lengkap vaksinasi.

Oleh itu, kepada yang gemar bermesra seperti itu, perlulah tangguh dahulu sehingga pandemik benar-benar hilang kerana tindakan itu bukan sahaja boleh membahayakan saudara dan adik beradik terdekat, malah ia akan menyebabkan masalah lebih besar kepada negara.

Apabila keadaan kembali reda, lakukanlah sesuka hati kerana tiada lagi kebimbangan berkaitan jangkitan Covid-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!