Harga bahan binaan naik, rumah semakin mahal
SETIAP individu terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga sememangnya berhasrat untuk memiliki kediaman sendiri.
Tidak kira apa jenis rumah sekali pun, ia bergantung kepada kemampuan dan kewangan masing-masing.
Jika dahulu rumah tradisional dibina di tanah sendiri, namun seiring peredaran zaman beberapa rumah mula dibangunkan pemaju seperti projek banglo, rumah berkembar (semi-D), rumah teres, pangsapuri, dan kondominium.
Tidak kira apa jenis rumah sekali pun, namun untuk memiliki kediaman di negara ini bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi bagi golongan berpendapatan rendah.
Hakikatnya, harga rumah ketika ini terus meningkat terutama di kawasan bandar strategik seperti di Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya.
Malah, harga rumah di pinggiran bandar sekitar Selangor juga kini semakin mahal seperti di Meru, Kapar, Kuala Selangor hinggalah ke Sabak Bernam.
Kenaikan harga rumah dikaitkan dengan harga barang binaan yang melambung dua hingga empat kali ganda.
Dalam keadaan pandemik ini, kenaikan harga rumah terus mendadak terutama besi dan simen konkrit sehingga melebihi 50 peratus.
Seorang kontraktor kelas F, Mohd Roslan Muslimin, 46, yang ditemui Sinar Harian memaklumkan, jika dahulu rumah dibina di kawasan tanah persendirian berkeluasan 24 x 30 kaki persegi berharga RM80,000 dua bulan lalu, kini harganya sudah melebihi RM130,000.
Ini bermakna, dalam tempoh dua bulan selepas kelonggaran Pelan Pemulihan Negara (PPN) berlaku kenaikan harga rumah sehingga RM50,000.
Jelasnya, harga bahan binaan terutama besi cerucuk dahulunya berharga RM2,800 setan metrik tetapi kini harganya naik sehingga RM4,000 setan metrik.
Akibat kenaikan itu juga katanya, kos upah membuat rumah di tanah persendirian kini meningkat daripada RM90 kaki persegi kepada RM130 kaki persegi.
Katanya, tidak tahu di mana puncanya kenaikan mendadak harga binaan pasti menyebabkan kontraktor terus dihimpit dengan tekanan kenaikan harga barangan.
Jika kenaikan ini berterusan, sudah tentu ramai kontraktor gulung tikar dan ia turut memberi kesan kepada kontraktor baharu ingin berkembang.Bersaing
Entah apa sebenarnya menjadi punca harga rumah terus melambung tinggi hingga menyukarkan pembeli memiliki kediaman sendiri.
Akta kawalan harga perlu dikuatkuasakan bagi memastikan harga bahan binaan ini masih terkawal.
Di pihak pemaju pula, mereka seharusnya membina lebih banyak rumah mampu dibeli rakyat berbanding rumah mewah bersifat kayangan.
Pada masa ini, kebanyakan rumah yang dibangunkan pemaju ketika ini hanyalah ‘rumah mampu tengok’.
Memang diakui, banyak rumah mampu milik disediakan pihak kerajaan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau projek perumahan subsidi lain, tetapi mereka terpaksa bersaing dengan seluruh rakyat negara ini yang mahu mendapatkan rumah bantuan kerajaan.
Beberapa pakej diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat di negara ini memiliki rumah sama ada di kawasan bandar dan pedalaman.
Misalnya di Wilayah Persekutuan, sejumlah 62,701 unit rumah Projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM) melibatkan 100 projek mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan hingga 30 September lalu.
RWKM memberi tumpuan kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman di pusat bandar.
Selain itu, kerajaan Selangor juga turut memberi tumpuan kepada rakyat di negeri itu memiliki rumah pertama.
Persoalannya, adakah rumah mampu milik yang dibina mencukupi untuk rakyat berpendapatan rendah?
Dengan populasi rakyat di negara ini semakin meningkat, pembinaan rumah bantuan kerajaan bukanlah penyelesaian tepat.
Sebaliknya, kerajaan perlu melihat daripada semua sudut termasuk kemampuan kewangan rakyat selain mengawal harga rumah serta harga bahan binaan yang semakin membebankan.
Jika ini dapat dilakukan, banyak mana pun projek perumahan dilaksanakan sudah tentu ia dapat menguntungkan semua pihak sama ada penjual atau pembeli.
* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!