Adtec Kulim rugi RM1j

Kula Segaran dalam mesyuarat bersama pengurusan Adtec Kulim, semalam.
Kula Segaran dalam mesyuarat bersama pengurusan Adtec Kulim, semalam.
A
A
A

KULIM - Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kulim Mahang di sini hilang pendapatan kira-kira RM1 juta daripada hasil ladang kelapa sawit miliknya.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, Adtec tidak dibenarkan mengambil hasil ladang seluas 20 hektar itu sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, pusat latihan itu mempunyai 40 hektar tanah dengan 20 hektar daripadanya dibangunkan bagi pejabat pengurusan dan pusat latihan.

“Seluas 20 hektar lagi di belakang tanam dengan kelapa sawit. Hampir empat tahun tidak ambil hasil kerana tiada kebenaran daripada kementerian (ketika pentadbiran BN).

“Sekarang Pengarah Adtec kata tak cukup wang. Nak paten RM15,000 pun tak cukup,” katanya pada sidang media ketika lawatan kerja di sini, semalam.

Kula Segaran bersama pengurusan Adtec Kulim turut melawat kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

Justeru katanya, esok beliau akan arahkan tindakan diambil segera.

“Empat tahun kita sudah rugi. Jadi lawatan saya di seluruh negara ialah untuk ambil tahu situasi terkini dan beri penerangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkata, Adtec Kulim tidak sewajarnya dibina di kawasan pedalaman tetapi sepatutnya lokasinya di Kulim Hi Tech.

Katanya, faktor itu membuatkan ramai tidak tahu kewujudan pusat latihan berkenaan.

“Kenapa dulu.. ini tidak berada di Kulim Hi Tech. Soalan ini kita nak tanya kepada kerajaan lepas.

“Kamu mahu melatih orang, mahu pelajar datang. Sepatutnya ia berada di sana (Kulim Hi Tech) bukan di sini,” katanya.

Beliau berkata, jarak Pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang jauh di kawasan pedalaman tidak menarik minat para pelajar.

“Ia tidak memberi galakan kepada anak kita untuk datang walaupun di sini ada asrama dan sebagainya. Tetapi terlalu jauh dari bandar.

“Jika buat hospital 200 km dalam hutan siapa nak pi? Sama juga dengan keadaan di sini," katanya.

Tambahnya, masalah lokasi turut melibatkan banyak TVET lain di seluruh negara.

Untuk itu katanya, beliau akan memohon sebidang tanah kepada kerajaan negeri dalam kawasan Kulim Hi Tech bagi pembinaan Adtec yang baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!