Draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual dibentang sesi ini

Siti Zailah
Siti Zailah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk membentangkan Draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) bacaan kali pertama dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat.

Timbalan menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (white bill) serta persetujuan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPWKM dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas gangguan seksual untuk seluruh rakyat, khususnya wanita.

“Proses semakan RUU adalah satu proses yang perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin ketika menjawab pertanyaan Noorita Sual (PH-Tenom) yang meminta kementeriannya menyatakan komitmen kerajaan di dalam memperkenalkan RUU AGS dan apakah garis masa akta tersebut akan dibentangkan.

Siti Zailah berkata, pada masa ini kes-kes gangguan seksual ditangani melalui akta dan peraturan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan (Akta 574);Akta Kerja 1995 (Akta 265), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Sementara itu, beliau memberitahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sedang membangunkan Modul Intervensi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja untuk kegunaan Pegawai Psikologi atau Kaunselor Organisasi dalam mengendalikan kes gangguan seksual di tempat kerja.

Kata Siti Zailah, kementeriannya terutama melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) giat mengadakan program-program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gangguan seksual supaya dapat mengelakkan perlakuan tersebut daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual atau lain-lain bentuk.

“Pada tahun ini sehingga Jun 2021, sebanyak 53 program kesedaran telah dilaksanakan oleh JPW dengan penglibatan seramai 11,367 peserta di seluruh negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!